Anda di sini

Tidak guna rizab negeri bina LRT: Abang Johari

Advertisement

Guna model kewangan lain realisasi projek pengangkutan awam hubungkan Damai ke Serian

 Abang Johari (dua kiri) menyampaikan piala kepada ketua pasukan DUN Satok yang menjuarai Piala Cabaran Golf Petra Jaya 2017 sambil disaksikan Fadillah (dua kanan), Hasidah (kiri) dan Fazzrudin (kanan).
TAHNIAH: Abang Johari (dua kiri) menyampaikan piala kepada ketua pasukan DUN Satok yang menjuarai Piala Cabaran Golf Petra Jaya 2017 sambil disaksikan Fadillah (dua kanan), Hasidah (kiri) dan Fazzrudin (kanan).

KUCHING: Kerajaan negeri tidak akan menggunakan rizab negeri untuk membiayai projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dijangka bermula tahun depan.

Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerajaan akan menggunakan model kewangan yang lain untuk merealisasikan projek pengangkutan awam yang menghubungkan kawasan Damai sehingga ke Serian itu.

LRT akan terus saya usahakan dan ini akan mengubah landskap serta pembangunan infrastruktur di bandar raya Kuching.

DAP mendakwa projek ini akan menghabiskan rizab negeri tetapi saya tidak akan menggunakan rizab negeri, kita gunakan model kewangan yang lain.

Kalau Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura) dapat bangunkan Singapura, kenapa pula kita tidak dapat bangunkan Kuching,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Piala Cabaran Golf Petra Jaya 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Abang Johari turut merancang untuk membuka penerbangan Sarawak sendiri bagi menarik lebih ramai kemasukan pelancong termasuk dari Singapura.

Katanya ia kerana negeri ini sudah mula menjadi tumpuan rakyat dari negara berkenaan terutama bagi menjalankan aktiviti seperti memancing di laut.

Ramai orang Singapura datang untuk mengail di Sarawak, misalnya ke Telaga Air dan Lundu di mana mereka akan menyewa bot untuk turun ke laut dan tidur di sana sambil memancing,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari berkata beliau mahu mengubah wajah Petra Jaya dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun akan datang ke arah sebuah kawasan yang membangun pesat di bandar raya ini.

Malah, katanya kawasan yang merangkumi tiga konstituensi - Satok, Tupong dan Samariang itu akan turut dihubungkan dengan LRT.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan yakin kerajaan negeri akan mampu merealisasikan segala perancangan untuk membangunkan Sarawak.

Kita akan menggunakan model baharu untuk mengekalkan pembangunan khasnya di Kuching dan ia akan menjadi tarikan yang seterusnya berkembang ke kawasan lain di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Piala Cabaran Golf Petra Jaya menyaksikan pasukan DUN Satok muncul juara sekali gus merangkul piala pusingan Datuk Seri Fadillah Yusof manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang pasukan DUN Tupong dan DUN Samariang.

Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

  • oleh
  • Advertisement