Anda di sini

SCORE berjaya tarik 22 projek pelaburan RM33.64j

Advertisement

KUCHING: Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah menarik 22 projek pelaburan bernilai RM33.64 juta setakat ini dalam industri aluminium, ferroalloys dan silikon polycrystalline.

Projek ini menurut Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijangka menjana kira-kira 17,000 peluang pekerjaan dalam SCORE.

“Kerajaan negeri telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Rangka Kerja di Beijing, China pada November 2016 dengan Hebei Xinwan Steel Group Co., Ltd. dan MCC Overseas Ltd.Of China bagi cadangan pembangunan projek steel di Samalaju bernilai ASD3 bilion.

“Kajian kemungkinan projek dijangka siap pada Jun 2017. Sebagai tambahan Sarawak Petchem Sdn Bhd akan melabur ASD 2 bilion dalam loji metanol dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik sehari di Tanjung Kidurong, Bintulu,” katanya.

Jelasnya, projek ini dijangka menyediakan 1,000 peluang pekerjaan selain mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan kontrak bagi komuniti perniagaan tempatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 semalam.

Menyentuh mengenai pembangunan di Hab Halal Tanjung Manis, Awang Tengah berkata TM Bulkers Sdn Bhd dengan pelaburan RM350 juta telah beroperasi di hab halal ini pada Mac 2017.

Manakala Kuala Rejang Industrial Synergy Sdn Bhd merancang untuk melabur RM500 juta di mana kerja tanah telah bermula baru-baru ini.

Sebagai tambahan, beberapa pelaburan tempatan termasuk syarikat asing juga dalam pertimbangan.

“Setakat ini, Pusat Komersial merangkumi 95 unit rumah kedai telah dibangunkan oleh sektor swasta di Tanjung Manis dan atas permintaan tinggi, 40 unit lagi sedang dibina,” katanya

Jelasnya, bagi memperkukuh aktiviti ekonomi di Hab Halal Tanjung Manis, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) mengenal pasti 20 projek strategik dalam perniagaan agro, industri berasaskan perikanan, industri pemprosesan makanan, ternakan dan ayam bernilai RM2.8 juta.

“Projek ini dijangka mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement