Anda di sini

PRK Pujut: DAP Sarawak akan mesyuarat dalam masa terdekat

Advertisement
 Chong (tengah) mengadakan sidang media berhubung PRK Pujut di Kuching semalam. Turut kelihatan Violet (kanan) dan  Wong.
SIDANG MEDIA: Chong (tengah) mengadakan sidang media berhubung PRK Pujut di Kuching semalam. Turut kelihatan Violet (kanan) dan Wong.

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan PRK Pujut akan diadakan pada 4 Julai depan dengan hari penamaan calon pada 20 Jun di Dewan Suarah Miri.

PRK Pujut diadakan susulan kekosongan kerusi itu selepas keanggotaan wakil rakyatnya Dr Ting Tiong Choon dari DAP dilucutkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Ahli-ahli dan penyokong DAP bagi cawangan di Miri akan menggerakkan jentera dan membuat persiapan penuh bagi menghadapi PRK Pujut.

“Untuk PRK Pujut ini semua ahli-ahli DAP bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga kebangsaan akan turun padang bagi mempertahankan kerusi ini,” kata Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN di sini semalam yang turut dihadiri oleh Violet Yong (DAP-Pending) dan Wong King Wei (DAP-Padungan).

Terdahulu, Chong yang juga ADUN DAP-Kota Sentosa menyifatkan keputusan untuk mengadakan PRK Pujut ini sebagai penindasan terhadap Dr Ting.

Katanya, Dr Ting telah memenangi kerusi Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 secara adil.

“Kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pujut nanti adalah penting dan momentum terbaik untuk mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang dijadual tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu pada PRN 7 Mei 2016, Dr Ting meraih 8,899 undi untuk memenangi kerusi Pujut menewaskan calon langsung BN, Hii King Chiong yang mendapat 7,140 undi.

Dua lagi calon, Jofri Jaraiee dari PAS dan calon bebas Fong Pau Teck masing-masing meraih 513 undi dan 375 undi.   

Advertisement