Anda di sini

Mahkamah tetap 13 Julai bicara kes wanita dituduh mencuri

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 13 Julai depan untuk perbicaraan lanjut kes seorang wanita yang menghadapi tuduhan menyimpan harta curi.

Manakala tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tuduhan itu dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Nurqamarina Tukimin, 25, dari Jalan Clemantis 7, Pujut 8C Jalan Lutong di sini telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa dengan curang menyimpan harta curi iaitu satu unit iPad Apple warna perak, satu set kunci kereta berlogo Toyota, satu set kunci berlogo Toyota bersama kunci motosikal Yamaha, satu kunci kereta bertanda Toyota bersama rantai kunci Toyota dan satu kunci rumah bersama alat kawalan pagar kepunyaan Liza Ismawi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.30 pagi, 26 April lalu di tempat letak kereta sebuah kompleks beli-belah di Jalan Pasar Lama Lutong.

Advertisement