Anda di sini

509 geran tanah individu untuk 17 kampung

Advertisement
 Musa, Bung dan Masiung bersama pemimpin-pemimpin kampung yang menerima geran tanah.
TEPATI JANJI: Musa, Bung dan Masiung bersama pemimpin-pemimpin kampung yang menerima geran tanah.

KINABATANGAN: Kerajaan Negeri Sabah meluluskan 509 geran tanah individu untuk 17 kampung yang membabitkan keluasan 4,229.12 ekar di dalam Dewan Undangan Negeri Kuamut.

Kesemua 17 kampung itu ialah Kg Kironggu sebanyak 83 geran, Kg Talibu (56), Kg Langkabong (1), Kg Namukon (30), Kg Simpan Entilibon & Kg Entilibon (19), Kg Tongodon (2), Kg Linayukan (3), Kg Milian (1), Kg Sanan (2), Kg Tampasak (1), Kg Bulot Sinarupa (39), Kg Bulot (27), Kg Maliau (4), Kg Bersatu Tenaga (147), Kg Kuala Tongod (50) dan Kg Pinangah (44).

Bagi geran komunal di Kampung Entilibon pula adalah seluas 1,584.14 ekar membabitkan 106 peserta di mana setiap lot mempunyai 10 ekar dan Kampung Mangkawagu pula seluas 580.19 ekar dengan membabitkan 85 peserta iaitu 6 ekar setiap lot.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata kerajaan meluluskan geran tanah itu kepada mereka agar dapat bercucuk tanam dan diwarisi oleh anak cucu mereka.

“Tanah yang diluluskan ini perlulah diusahakan untuk meningkatkan sumber ekonomi. Mereka yang mendapat kelulusan ini boleh usahakannya secara bersendirian atau boleh menjalinkan kerjasama dengan agensi persekutuan atau negeri,” katanya.

Beliau berkata tanah yang diluluskan dan diserahkan itu tidak boleh dijual sebaliknya usahakan bagi diwarisi oleh anak cucu.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod 2017 dan Dewan Serbaguna Kampung Simpang Entilibon di dewan serba guna kampung itu, kelmarin.

Musa berkata Pesta Kaamatan dirayakan bersama oleh pelbagai kaum di negeri ini dan ia adalah satu amalan yang unik.

“Perayaan ini juga dapat mengeratkan kesatuan dan kekitaan sesama kita. Ini dapat memastikan pemimpin dan rakyat bersama dalam merayakannya,” katanya.

Beliau berkata Sabah merupakan negeri yang mempunyai pelbagai etnik serta budaya di mana rakyatnya sentiasa hidup aman.

“Kita dapat menghayati kebudayaan kaum lain dengan menikmati pelbagai jenis makanan, kraf tangan, budaya dan sebagainya,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata perayaan seperti itu juga akan menjana ekonomi dalam sektor pelancongan.

“Saya datang ke Entilibon bukan sahaja mahu melihat pembangunan tetapi melihat keindahan alam semula jadi di kawasan ini. Kita perlu sentiasa menjaga alam semula jadi sebagai usaha memastikan industri pelancongan terus dijana di Sabah. Ini amat penting kepada kita,” katanya.

Dari segi pembangunan, beliau memuji sikap kepimpinan Ahli Parlimen Kinabatangan Dato Sri Bung Moktar Radin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah yang sentiasa bersuara untuk mendapat pembangunan bagi kepentingan rakyat di kawasan mereka.

“Sikap pemimpin seperti ini merupakan pemimpin yang sentiasa berusaha memastikan kawasan yang mereka wakili ini terus mendapat pembangunan dan rakyat menikmatinya,” katanya. Pada masa yang sama, Musa juga meluluskan pembinaan sebuah kompleks sukan di Tongod bagi kemudahan rakyat di sekitar kawasan itu.

“Kita berharap dengan pembinaan sebuah kompleks sukan di kawasan ini akan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan belia beliawanis di sini,” katanya.

Beliau juga mahu belia hari ini terus mencurahkan buah fikiran kepada pihak kerajaan dalam usaha bersama pembangunan belia secara berterusan.

“Jangan kita emosi seperti apa yang berlaku dengan sebilangan kecil pemimpin yang kecewa dan keluar parti. Tidak perlu terburu-buru bertindak demikian kerana hanya merugikan... yang penting, kita dalam Barisan Nasional (BN) terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Musa menegaskan kerajaan tidak bercakap kosong seperti pembangkang. BN sentiasa tepati janjinya.

“Ini seperti pembinaan dewan serba guna ini yang kita janjikan, kita tunaikan dan hari ini rakyat dapat guna dewan serba guna ini yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Advertisement