Anda di sini

Tujuh Pusat Perkhidmatan Pemulihan dan Penjagaan baharu dibina

Advertisement

KUCHING: Sebanyak tujuh Pusat Perkhidmatan Pemulihan dan Penjagaan (CCSC) baharu akan dibina di negeri ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata tujuh CCSC itu akan dibina di Lawas, Samarahan, Betong, Serian, Mukah, Bintulu dan Sarikei melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Ba’kalalan, dalam Bengkel Penyelarasan Penyelesaian Isu Dadah yang diadakan di Lawas pada 4 hingga 7 Mei lalu, pihak kerajaan melalui AADK akan menubuhkan tujuh CCSC baharu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Bagi konteks rawatan dan pemulihan Fatimah memberitahu setakat April 2017, seramai 190 penagih dadah sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sarawak di Kuching.

Seramai 62 penagih sedang menjalani pemulihan secara sukarela di Care and Cure Service Centre Kuching (CCSC), sementara 1,177 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang menjalani pemulihan dalam komuniti dan diawasi AADK Daerah di seluruh Sarawak,” katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan isu penyalahgunaan dadah terus menjadi masalah sosial membimbangkan di negeri ini yang mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil rakyat.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak menunjukkan bilangan tangkapan melibatkan dadah meningkat setiap tahun.

Malah, dedahnya lagi, sejak 2011 sehingga April 2017, terdapat 32,984 tangkapan yang melibatkan dadah di negeri ini.

Jelasnya, dapatan kajian oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia pada 2016 menunjukkan bahawa lebih daripada 60 peratus salah laku sosial di negara ini mempunyai hubung kait dengan dadah.

Sehubungan itu, untuk memantapkan usaha memerangi isu berkaitan dadah, baru–baru ini satu Bengkel Penyelarasan Penyelesaian Isu Dadah di bahagian Limbang telah diadakan pada 4 hingga 7 Mei lalu di Lawas yang melibatkan pelbagai agensi seperti Kementerian Dalam Negeri Malaysia, PDRM Bukit Aman, PDRM Kontinjen Sarawak dan AADK Malaysia.

Bengkel tersebut telah berjaya menghasilkan satu Pelan Tindakan Intervensi Bersepadu yang berbentuk penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan,” kata Fatimah.

Justeru, beliau yakin Pelan Tindakan Intervensi Bersepadu tersebut akan dapat dijadikan sebagai kerangka bagi operasi gerak gempur berkaitan isu dadah di bahagian-bahagian lain di Sarawak.

Menyentuh mengenai pencapaian penguatkuasaan di negeri ini, beliau berkata, jumlah operasi terancang bagi menangani isu dadah di Sarawak berjaya ditingkatkan.

Tambahnya, sejak 2016 sehingga April 2017, pihak PDRM telah berjaya membuat beberapa rampasan dadah dan menyita aset 37 pengedar dadah bernilai RM5.273 juta dengan penguatkuasaan undang-undang Akta Dadah Berbahaya (Pencegahan Khas) 1988.

Advertisement