Anda di sini

Rakuten sasar kuasai 20-30 peratus pasaran runcit dalam masa tiga tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Firma broker ekuiti dalam talian sepenuhnya dan pertama di Malaysia, Rakuten Trade Sdn Bhd, menyasarkan untuk menguasai 20 hingga 30 peratus bahagian pasaran dagangan runcit dalam masa dua hingga tiga tahun lagi.

Pengarah Urusannya, Kaoru Arai berkata syarikat itu turut menjangkakan untuk mendapat pulangan dalam tempoh tiga tahun pertama, didorong oleh kewujudan kalangan penduduk celik Internet di Malaysia serta kemudahan yang ditawarkan oleh platform dalam talian berkenaan.

Rakuten Trade merupakan usaha sama 50:50 antara Kenanga Investment Bank Bhd dan firma Jepun, Rakuten Securities Inc.

Platform itu (dalam talian) lebih selesa untuk pengguna berdagang dalam masa sebenar berbanding perkhidmatan secara bersemuka.

Malah, bahagian pasaran untuk dagangan berasaskan Internet di Malaysia juga dijangka berkembang pesat dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran iSpeed.my iaitu platform dalam talian syarikat itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

Menurutnya, pelancaran platform itu juga seiringan dengan agenda digital Suruhanjaya Sekuriti.

Platform itu direka khusus untuk menepati keperluan pelabur generasi baharu yang peka digital dan e-dagang serta pedagang celik teknologi sedia ada yang lebih gemar melakukan rutin dagangan langsung secara sendiri,” katanya.

Arai berkata platform itu juga direka untuk merevolusi dagangan saham dalam talian menerusi penggunaan teknologi terkini dan pada kadar pembrokeran lebih rendah.

Platform itu tidak hanya memudahkan dagangan tetapi untuk pertama kalinya, rakyat Malaysia dapat membuka akaun dagangan ekuiti sepenuhnya secara dalam talian bagi dagangan dalam bursa tempatan,” katanya.

Menurutnya, platform itu turut berperanan sebagai portal kewangan bagi mendapatkan akses kepada bahan penyelidikan mudah serta maklumat pasaran dalam masa sebenar. — Bernama

Advertisement