Anda di sini

Amalkan tanam semula pokok yang ditebang

Advertisement

Penanaman semula pokok yang ditebang berupaya memberikan pengurusan hutan yang lestari: David

 Abang Johari kelihatan melihat produk perkayuan yang dipamer di tapak pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd pada Ekspo Perkayuan Sarawak dan PKS 2017, di BCCK semalam.
LAWATAN TAPAK: Abang Johari kelihatan melihat produk perkayuan yang dipamer di tapak pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd pada Ekspo Perkayuan Sarawak dan PKS 2017, di BCCK semalam.

KUCHING: Kesan aktiviti penerokaan dan pembalakan melampau bagi hutan di negeri ini akan dapat diatasi jika setiap pemain industri pembalakan mengambil inisiatif proaktif dengan menanam semula pokok yang ditebang.

Menurut Timbalan Pengurus Besar GP Pusaka Sdn Bhd David James, penanaman semula pokok yang telah ditebang berupaya memberikan pengurusan hutan yang lestari.

Jika anda (pemain industri) menebang pokok bagi tujuan komersial, ia haruslah ditanam semula bagi memastikan kelestarian hutan kita.

Sebagai contoh, kalau anda menebang 1,000 hektar pokok, anda juga perlu menanam semula 1,000 hektar pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di tapak pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd pada Ekspo Perkayuan Sarawak dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) 2017, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

David yang juga wakil Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd berkata, penanaman semula pokok tersebut adalah penting bagi mengelakkan kesan bencana alam yang boleh memudaratkan, khususnya bagi penduduk setempat yang mendiami kawasan berdekatan hutan yang ditebang selain sebagai kawalan dan tindakan pemuliharaan.

Ini apa yang kami semua laksanakan sebagai pemain industri perkayuan ini.

Kami mahu rakyat tempatan, khasnya penduduk setempat berasa selesa mendiami kawasan tempat tinggal mereka dengan menjaga persekitaran di kawasan itu.

Malah kami juga mengambil kira usaha melindungi habitat haiwan liar dan mengekalkan alam semula jadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, David berkata pemain industri pembalakan juga perlu menitikberatkan jaringan hubungan antara pemain industri dengan masyarakat setempat atau sebaliknya industri itu tidak akan berjaya.

Ia, jelasnya termasuk membuka peluang pekerjaan, memastikan bekalan air adalah bersih serta menghargai nilai kewujudan masyarakat setempat di kawasan berdekatan hutan yang diteroka.

Antara perkara lain yang penting juga adalah sosial, melihat kesejahteraan penduduk setempat yang mendiami kawasan tempat tinggal mereka selain menjalankan aktiviti perniagaan atau penjanaan ekonomi khusus untuk mereka.

Kesemua perkara ini yang sering kami ambil perhatian dalam usaha mencapai pengurusan hutan yang lestari,” ujarnya sambil menambah, kebanyakan projek yang dijalankan syarikat tersebut melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera, perindustrian perladangan pokok serta pemuliharaan.

Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd merupakan salah sebuah syarikat pempamer daripada 494 gerai jualan terdiri daripada 280 pempamer dari dalam dan luar negara serta 150 usahawan PKS turut serta dalam ekspo tersebut.

Selain produk perkayuan, Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd juga mempamer beberapa produk lain termasuk produk Shell Rimula dan alatan kuasa jenama Stihl.

Ekspo Perkayuan Sarawak dan PKS 2017 bermula semalam dan akan berakhir pada 22 Mei (Isnin) itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang turut meluangkan masa mengunjungi tapak pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd, semalam.

  • oleh
  • Advertisement