Anda di sini

Jaga kebersihan tandas awam tanggungjawab semua pihak

Advertisement

Perak beri perhatian serius terhadap kebersihan tandas

IPOH: Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam termasuk di masjid dan surau di negeri ini bukan hanya terletak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua pihak terutama masyarakat setempat, kata Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menteri Besar itu berkata tandas awam adalah kegunaan awam dan mereka tidak boleh merosakkan atau mengotorkannya kerana apabila tandas di masjid dan surau tidak dijaga dengan sempurna, ia memberi gambaran yang tidak baik terhadap tempat beribadah berkenaan.

Saya ingin menekankan bahawa ia merupakan dasar kerajaan negeri yang memberi perhatian serius terhadap kebersihan tandas awam dan saya tidak mahu mendengar sebarang alasan sekiranya tandas awam didapati kotor.

Sebagai contoh, beberapa buah negara luar sentiasa memastikan tandas awam perlu dijaga dengan baik kerana mereka sedar mengenai kepentingan menjaga kebersihan tandas awam adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hamman 2017 peringkat negeri Perak bertemakan ‘Merevolusikan Pemikiran Tentang Kebersihan Tandas’ anjuran Institut Darul Ridzuan dan Jabatan Agama Islam Perak di sini semalam.

Zambry berkata beliau sering kali turun padang dan mengadakan pemeriksaan mengejut bagi memastikan tahap kebersihan tandas awam di negeri ini sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan memuaskan.

Sekiranya didapati (tandas) kotor, saya mahu pihak yang terlibat menguruskan tandas awam di daerah berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Zambry menyeru orang ramai melaporkan kepada beliau, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan atau mana-mana PBT yang berhampiran sekiranya mendapati kebersihan tandas awam tidak mencapai tahap memuaskan.

Beliau turut berharap masyarakat di negeri ini menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya pada waktu tertentu kerana ia merupakan sebahagian daripada gaya hidup.— Bernama

Advertisement