Anda di sini

Bukti strategi perniagaan berkesan

Advertisement

KOPEKS berjaya memperolehi pendapatan RM323.86 juta tahun lepas

 Yahya (tiga kiri) menyampaikan insentif pendidikan kepada salah seorang anak anggota koperasi pada majlis berkenaan.
INSENTIF: Yahya (tiga kiri) menyampaikan insentif pendidikan kepada salah seorang anak anggota koperasi pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) memperoleh pendapatan berjumlah RM323.86 juta dengan jumlah modal saham dan yuran sebanyak RM157.61 juta pada tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, pencapaian yang memberangsangkan itu amat membanggakan dan jelas menunjukkan bahawa sumbangan Kopeks kepada ekonomi negeri tidak kurang pentingnya.

Sejak tahun 2009 hingga 2016, KOPEKS memperoleh untung bersih tahunan dan terkumpul sebanyak RM20.1 juta dan saya percaya kejayaan yang berterusan ini membuktikan strategi perniagaan yang berkesan serta amalan tadbir urus koperasi yang bijak dan terpuji.

Pembayaran dividen juga agak tinggi iaitu 15 peratus pada 2014 dan dijangka sekali lagi akan membayar jumlah yang sama bagi tahun kewangan seterusnya,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung KOPEKS ke-42, di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Musa merakam ucapan tahniah kepada Kopeks yang berjaya meningkatkan kedudukan dari tahun ke tahun sehingga sekarang di tangga ke-23 dalam indeks Koperasi Terbaik daripada lebih 12,000 koperasi seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anggota mahupun pemimpin koperasi agar terus bersatu melipatgandakan usaha bersama kerajaan dalam memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Kopeks Datuk Maznah Abdul Ghani berkata meskipun ekonomi kurang memberangsangkan pada tahun lepas, namun perniagaan koperasi masih mencatat pengeluaran pinjaman sebanyak RM10.20 juta berbanding RM7.94 juta pada 2015.

Katanya, KOPEKS juga bercadang supaya pengagihan dividen tahun 2016 kekal sebanyak 15 peratus untuk menghargai sokongan anggota terhadap perniagaan ahli koperasi, sekaligus membantu mengurangkan tekanan hidup secara umum.

Selain itu, sejak 2009, KOPEKS membayar dividen atas yuran dan saham serta saguhati atas saham sebanyak RM6.28 juta termasuk RM714,205 bagi tahun kewangan 2016 yang perlu kita luluskan pada mesyuarat hari ini (kelmarin).

Sehingga tahun lalu, koperasi juga membayar sebanyak RM3.64 juta elaun hadir mesyuarat iaitu termasuk RM3.24 juta tunai dan RM390 ribu kupon barangan KMM,” katanya.

Bagi ahli KOPEKS yang ditimpa kemalangan, Maznah berkata pihaknya mengeluarkan pendapatan dari tabung khairat kematian berjumlah RM683 ribu untuk diagihkan seramai 238 anggota sejak 2009 hingga tahun lepas.

Katanya, seramai 136 waris anggota yang meninggal dunia juga dibantu dengan penyerapan skim pelindungan tabung pinjaman sebanyak RM2.68 juta.

Manakala, bagi anggota yang sudah bersara pula, Kopeks sudah membayar yuran dan saham sebanyak RM14.34 juta bermula 2009 hingga 2016 termasuk RM1.31 juta tahun lalu.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 1,374 koperasi di negeri ini dengan bilangan anggota seramai 335,497 orang berserta aset koperasi berjumlah RM787.29 juta.

Pada majlis itu, Yahya turut menyampaikan insentif pendidikan kepada seramai 35 anak-anak anggota yang cemerang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Advertisement