Anda di sini

Organisasi berita perlu siar berita secepat mungkin

Advertisement

TAWAU: Perkembangan dunia pemberitaan global menuntut sesebuah organisasi berita menyesuaikan diri dengan perubahan semasa untuk menyiarkan berita secepat mungkin.

Ahli Majlis Institut Akhbar Malaysia (MPI) T Selva berkata, perkembangan itu menjadi cabaran media supaya tidak lagi sekadar menunggu waktu siaran berita sehari lebih lewat.

“Kelebihan berita yang cepat disiar dapat menunjukkan betapa besarnya pengaruh media misalnya kes culik dan cubaan bunuh di Kota Kinabalu yang baharu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Orang melibatkan 45 wartawan dari lebih 23 organisasi media di Malaysia, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Pengarang Perunding Kanan Latihan dan Hal Ehwal Perundangan The Star itu mengakui wujud cabaran tertentu dalam menyiapkan berita dengan cepat.

“Cabaran terbesar dalam dunia pemberitaan pada hari ini bukannya penulisan artikel berita tetapi proses mendapatkan maklumat yang benar-benar tepat, betul dan sahih.

“Lebih-lebih lagi dengan perkembangan media sosial sekarang yang lebih banyak menyebarkan berita palsu berbanding berita yang sahih,” katanya.

Selva berkata, adakalanya terlalu banyak masa dan tenaga yang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan pengesahan sumber berita daripada pihak berkuasa.

Berhubung program itu pula, beliau yang turut bertindak sebagai salah seorang panel bengkel percaya amat penting untuk seseorang wartawan menyertai bengkel sedemikian.

“Amat penting juga untuk organisasi berita melatih dan mendidik wartawannya untuk hadir sama ke arah menghasilkan artikel pemberitaan yang lebih baik,” katanya.

Bengkel tiga hari itu dianjurkan MPI dengan kerjasama Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Advertisement