Anda di sini

Undang-undang ‘lapuk’ alam sekitar dipinda bagi jayakan TN50: Wan Junaidi

Advertisement
 Aspirasi Masa Depan Alam Sekitar Negara di Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam. — Gambar Bernama
UCAPAN: Wan Junaidi berucap pada program dialog transformasi 2050 (TN50) : Aspirasi Masa Depan Alam Sekitar Negara di Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan meminda beberapa undang-undang alam sekitar agar ia selaras dengan situasi semasa selain memastikan pembangunan negara dijayakan dengan lestari bagi mencapai Transformasi Negara 2050 (TN50).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata antara undang-undang yang dilihat sudah ‘lapuk’ dan tidak lagi releven dengan keadaan semasa serta akan dipinda ialah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mungkin bagi 2050, tempohnya lama lagi tetapi kita juga pinda mengikut kepada keadaan semasa... antara undang-undang lain yang bakal dipinda adalah yang berkaitan biodiversiti, rizab sungai dan air yang membabitkan kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Dialog TN50: Aspirasi Masa Depan Alam Sekitar Negara Kita di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang dekat sini, semalam.

Turut hadir Timbalannya Datuk Ir. Hamim Samuri dan Ketua Setiausahan kementerian Datuk Seri Azizan Ahmad.  

Majlis anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu, yang dihadiri lebih 300 pelajar daripada beberapa insitusi pengajian tinggi awam (IPTA), bertujuan mendapatkan aspirasi orang ramai terutama golongan muda berhubung isu alam sekitar demi menjayakan TN50.

Wan Junaidi berkata menerusi dialog seperti itu, kerajaan berharap dapat melahirkan generasi dan bakal barisan pemimpin negara yang peka dengan soal pemuliharaan alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan menganjurkan lebih banyak program dialog sama sekiranya mendapat permintaan daripada IPTA lain.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata kementerian mengambil berat pembangunan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan ia tidak mengganggu ekosistem semula jadi negara.

Setiap projek terutama projek mega pasti ada impaknya tetapi projek laluan kereta api  ini didapati lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan. Dari segi pelepasan asap kenderaan dan pencemaran udara, ia pasti berkurangan kerana difahamkan kereta api itu menggunakan tenaga elektrik,” katanya. — Bernama

Advertisement