Anda di sini

Terowong runtuh di tapak nuklear AS di Washington

Advertisement
 Kawasan 200 tapak nuklear Hanford Site dalam gambar yang dirakam dari udara pada 1995. — Gambar Reuters
TERJEJAS: Kawasan 200 tapak nuklear Hanford Site dalam gambar yang dirakam dari udara pada 1995. — Gambar Reuters

LOS ANGELES: Ribuan pekerja di sebuah tapak nuklear di negeri Washington, Amerika Syarikat (AS) diarah untuk mencari perlindungan kelmarin selepas sebahagian sebuah terowong penyimpanan yang dipenuhi bahan tercemar runtuh, tetapi tanda kebocoran radioaktif tiada dikesan.

Pekerja di loji Hanford Site yang luas itu, terletak kira-kira 170 batu ke tenggara Seattle, dihantar amaran awal pagi oleh pengurusan yang meminta mereka mencari perlindungan dan mengukuhkan pengudaraan selain mengelak daripada makan atau minum.

Pegawai persekutuan berkata tiada tanda menunjukkan bahan radioaktif telah bocor selepas kru mendapati satu bahagian enam meter sebuah terowong yang mengandungi kereta rel dan dipenuhi peralatan tercemar telah runtuh.

Seorang jurucakap di Jabatan Tenaga berkata hampir 5,000 pekerja berada di Hanford Site, yang meliputi kawasan seluas 1,518 kilometer persegi, ketika kecemasan itu diumumkan dan mereka diarah untuk mencari perlindungan.

Semua pekerja sudah diambil kira, tiada kecederaan berlaku dan tiada tanda menunjukkan penularan pencemaran radiologi,” kata Destry Henderson selaku jurucakap bagi Pusat Kecemasan Hanford.

Tapak nuklear Hanford, yang dua kali sebesar Singapura, digunakan untuk menghasilkan plutonium bagi bom yang menamatkan Perang Dunia Kedua.

Reaktor terakhirnya ditutup pada 1987 dan sejak itu kira-kira 8,000 orang di kemudahan itu telah berusaha untuk membersihkan jutaan gelen sisa yang tertinggal dan disimpan dalam tangki yang usang. Kerja pembersihan dijangka memakan kos lebih AS$1 bilion (RM4.5 bilion) pada waktu ia dijangka siap pada 2060.

Henderson berkata amaran berkenaan dikeluarkan awal kelmarin setelah pekerja di Kemudahan Ekstraksi Uranium Plutonium (PUREX), sebuah loji pemprosesan kimia lama yang terletak di pusat tapak berkenaan, memerhatikan sewaktu pemeriksaan rutin bahawa tanah telah jatuh ke atas satu daripada dua terowong di kawasan berkenaan.

Pada detik itu, kecemasan diisytiharkan dan kira-kira enam pekerja di kemudahan itu dikeluarkan,” katanya.

Dia menambah kira-kira 3,000 pekerja di kawasan yang dipanggil ‘200 Area’ berhampiran terowong kayu dan konkrit itu diarah untuk mencari perlindungan selepas kru kecemasan mendapati bumbung terowong sudah runtuh. Arahan itu kemudian dilanjutkan ke seluruh kemudahan.

Terdapat spekulasi bahawa kejadian tanah runtuh itu mungkin telah disebabkan oleh gegaran daripada kerja jalan berhampiran.

Dua terowong itu digunakan pada awal 1950-an untuk menyimpan peralatan yang tercemar dan tanah runtuh itu dipercayai berlaku dalam sebuah kawasan di mana kedua-duanya bersambung.

Kedua-dua terowong diliputi tanah kira-kira setebal lapan kaki.

Terowong yang dianggarkan 360 kaki panjang di mana sebahagian daripadanya runtuh mengandungi lapan kereta rel yang membuat peralatan tercemar,” kata Jabatan Tenaga.

Terowong itu bersambung dengan sebuah terowong lebih panjang yang sepanjang ratusan kaki lagi dan mengandungi 28 kereta rel yang membawa peralatan tercemar.”

Hanford Site mengalami kebocoran dalam sebuah tangki penyimpanan sisa nuklear besar pada 2016 yang digambarkan sebagai satu bencana oleh seorang bekas pekerja.

Hanford Site merupakan sebahagian daripada Projek Manhattan, yang membawa kepada pengeluaran bom atom pertama, termasuk bom-bom yang digugurkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua. — AFP

Advertisement