Anda di sini

Rombakan kabinet, kementerian baharu pacu kemajuan Sarawak

Advertisement

MIRI: Rombakan kabinet negeri serta penubuhan beberapa kementerian baharu mampu memacu kemajuan Sarawak lebih gemilang di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata rombakan kabinet itu mampu menjurus ke arah kemajuan sesuatu sektor sama ada dalam pendidikan, ekonomi dan sosial.

Kita lihat rombakan kabinet negeri kali ini mengutamakan semua kepentingan rakyat Sarawak khasnya mewujudkan kementerian dalam sektor pendidikan, ekonomi dan sosial secara menyeluruh,” katanya di sini kelmarin.

Dennis berkata, kabinet negeri baharu itu dapat melengkapi keperluan semasa selaras dengan perkembangan negeri yang sedang bergerak menjadi sebuah negeri maju dan moden.

Beliau berharap penubuhan beberapa kementerian baharu dapat mencapai objektif kerajaan negeri bagi mempertingkat kemudahan atau prasarana fizikal khasnya dalam bidang pendidikan.

Rombakan kabinet Sarawak kali ini turut menyaksikan penubuhan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan sebagainya.

Justeru, saya percaya Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi dapat menyelesaikan beberapa kelemahan di peringkat akar umbi khasnya melibatkan sekolah-sekolah luar bandar,” katanya.

Beliau memberi contoh, banyak sekolah luar bandar masih daif dan usang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan negeri terutamanya melibatkan kemudahan asas untuk pelajar-pelajar dan guru-guru.

Menurutnya, kekurangan bekalan air, tiada akses komunikasi telefon, tiada dewan makan, guru bermalam dalam bilik jana kuasa, tiada padang sukan, stor menjadi bilik guru dan sebagainya perlu diketahui oleh kerajaan negeri.

Kita bukan menuding jari kepada kerajaan persekutuan tidak berbuat apa-apa dalam soal ini, namun segala masalah itu lambat diatasi sedangkan kita amat memerlukan kemudahan untuk keselesaan kalangan pelajar dan guru,” jelasnya.

Dennis yang juga Pengerusi SABERKAS Telang Usan mencadangkan agar kementerian baharu dapat menyelesaikan masalah berlaku di peringkat akar umbi yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri amat fokus kepada pembangunan luar bandar dan kita sebagai rakyat mengharapkan kemudahan sekolah-sekolah di luar bandar diberi keutamaan untuk dinaik taraf,” jelasnya.

Advertisement