Anda di sini

Pesuruhjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan - Azalina

Advertisement

LONDON: Pesuruhjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan bagi memantau, menyelaras dan mengkaji semua undang-undang  berkaitan jenayah seksual kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata pesuruhjaya itu yang akan bergerak secara bebas, bukan sahaja mengkaji peraturan undang-undang tetapi juga dari segi elemen dan dasar sesuatu undang-undang itu terhadap jenayah seksual kanak-kanak.

Keperluan untuk mewujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak ini akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan hasil  tinjauannya  ke atas Mahkamah Kanak-kanak di India dan United Kindom, kata Azalina kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.

Azalina bersama isteri perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Permata Negara, serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengadakan lawatan ke Mahkamah Majistret Stratford di sini yang dijadikan Mahkamah Keganasan Rumahtangga.

Selain  mengikuti prosiding mahkamah tersebut, mereka  diberi taklimat oleh Pengurus Pendakwaan Perundangan mahkamah itu Paul Okebu mengenai pengendalian kes jenayah seksual kanak-kanak.
 
Mereka turut  mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Crown Prosecution Service yang diketuai Duncan Moass, Timbalan Ketua Bahagian Antarabangsa, mengenai perkara yang sama.

Turut bersama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Sebelum ke London, Azalina mengadakan lawatan ke India bagi melihat pelaksanaan Mahkamah Kanak-kanak di negara itu.

Menyentuh mengenai penubuhan Mahkamah Kanak-kanak yang pertama di Malaysia iaitu di Istana Kehakiman di Putrajaya, Azalina berkata mahkamah itu yang akan mula beroperasi pada Jun ini akan  turut mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah tersebut yang memerlukan kepakaran dan kefahaman yang mendalam mengenai kanak-kanak, beliau berkata hakim Mahkamah Sesyen serta pihak pendakwaan akan menjalani kursus khas mulai Khamis ini. - BERNAMA

Advertisement