Anda di sini

Lelaki OKU jadi mangsa peragut

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) tidak terkecuali menjadi mangsa penjenayah ragut yang mengambil kesempatan daripada kelemahannya, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, 46, berbangsa Cina dikatakan sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan Wisma Sanyan sekitar jam 5 petang.

Ia mengambil beberapa hari untuk mangsa yang mengalami masalah kurang upaya mental menceritakan detik cemas itu.

Semasa kejadian, mangsa didatangi tiga lelaki tidak dikenali dipercayai warga Indonesia bertindak menghalang langkahnya.

Mereka dikatakan menghimpit mangsa sebelum memintanya untuk mengeluarkan barangan peribadi.

Mangsa hanya berdiam diri dan tidak mampu melakukan apa-apa, sebaliknya sekadar memandang tiga peragut itu mengeluarkan dompetnya yang mengandungi wang tunai RM50 dan kad OKU miliknya.

Menurut sumber, mangsa terus pulang ke rumah namun tidak memberitahu ahli keluarganya mengenai insiden itu.

Ahli keluarganya yang mengesyaki sesuatu tidak kena pada mangsa kemudian bertindak menghantar mangsa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan doktor.

Difahamkan, mangsa hanya dibenarkan keluar selepas keadaannya lebih stabil pada Isnin lalu.

Selepas menceritakan bahawa dia telah diragut, ahli keluarganya telah menemani mangsa ke balai untuk membuat laporan polis pada jam 10 pagi semalam.

Menurut seorang anak mangsa, ayah mereka hanya mampu menceritakan bahawa dia telah diragut selepas dia dibenarkan keluar oleh pihak hospital kelmarin.

Ayah tidak berdaya untuk  memaklumkan apa yang terjadi pada dirinya pada hari kejadian kerana emosi dan fikirannya masih terganggu,” jelasnya.

Kehilangan kad OKU mangsa turut menjejaskan proses untuk mendapatkan rawatan di hospital ketika itu.

Kami terpaksa menunggu keadaan ayah kembali stabil sebelum membuat laporan polis untuk rujukan pihak berkenaan,” tambahnya.

Advertisement