Anda di sini

Hulu Niah alami banjir kilat namun keadaan terkawal

Advertisement
 APM memantau kedalaman air banjir di SK Ranggong.
PANTAU: APM memantau kedalaman air banjir di SK Ranggong.

MIRI: Kawasan rendah di hulu Niah mengalami keadaan banjir kilat selepas dilanda hujan lebat malam Ahad lalu tetapi keadaan terkawal memandangkan tiada mangsa dilaporkan berpindah ke tempat lebih tinggi.

Kawasan terjejas di daerah Subis adalah dari dua rumah panjang iaitu Rumah Changgai dan Rumah Belilie serta Sekolah Kebangsaan (SK) Ranggong.

Berikutan keadaan banjir itu, murid-murid dari dua buah rumah panjang terbabit dinasihatkan berada di rumah berikutan jalan raya ke sekolah terputus.

Pasukan pemantauan dari Miri melaporkan kedua-dua rumah panjang dan sekolah terbabit tidak dapat dimasuki menggunakan kereta kecil tetapi dapat dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan besar lain.

Hujan tanpa henti selama lapan jam pada malam Ahad lalu menyebabkan air sungai pasang dan melimpah ke kawasan rumah panjang setinggi satu hingga tiga kaki.

Sekretariat banjir negeri diketuai Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, air banjir di kawasan sekolah naik antara satu hingga dua kaki.

Sementara itu, Tuai Rumah (TR) Changgai Dali ketika dihubungi berkata murid-murid  rumah panjangnya dinasihati berada dalam rumah akibat jalan perhubungan ke sekolah terputus tetapi sekolah tersebut tetap dibuka untuk murid-murid yang tinggal di asrama.

Amat sukar untuk kenderaan kecil melimpasi kawasan jalan raya yang dilimpahi air  tersebut untuk ke sekolah.

Keadaan cuaca pada hari ini (semalam) beransur panas, tetapi kami masih mengambil langkah berjaga-jaga. Ia sama seperti pada Ahad lalu iaitu keadaan cuaca panas di siang hari tetapi hujan lebat melanda malamnya menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Menurut Changgai, semasa dihubungi jam 3.30 petang semalam air banjir di kawasannya telah beransur surut.

Pegawai Daerah Subis, Hussini Bakir dimaklumkan mengenai situasi tersebut dan pihak berkuasa berkaitan memantau keadaan banjir yang berlaku.

Advertisement