Anda di sini

Kanser payudara pembunuh nombor satu wanita Malaysia

Advertisement
 Mariam (empat kanan) turun padang bersama LPPKN mengadakan ceramah di Kuching baru-baru ini bagi mendidik kaum wanita mengenai kanser payudara.
CERAMAH: Mariam (empat kanan) turun padang bersama LPPKN mengadakan ceramah di Kuching baru-baru ini bagi mendidik kaum wanita mengenai kanser payudara.

KANSER payudara merupakan antara penyakit yang menghantui setiap insan yang bergelar wanita di seluruh dunia.

 Tiada wanita yang sanggup menanggung derita penyakit ini namun jika sudah terkena ia bagaikan satu ujian besar bagi mereka.

 Kesannya bukan sahaja ditanggung oleh si penghidap, malah sakitnya turut akan dirasai oleh seisi keluarga terutama pasangan dan ahli keluarga yang lain.

 Menurut Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato Mariam Mas Yacob, kanser payudara adalah yang paling tinggi di Malaysia berbanding dengan lain-lain jenis kanser yang dihidapi oleh wanita.

 Kanser-kanser lain yang dikaitkan dengan wanita termasuk kanser serviks, usus besar, paru-paru dan kanser ovari.

 Peratusan pesakit kanser payudara ialah 31 peratus dan berdasarkan kajian setiap 1:19 daripada penduduk wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser ini.

 Sebab itu katanya, penting bagi setiap wanita untuk menjalani pemeriksaan payudara secara berkala bagi tujuan pengesanan awal kanser payudara.

 “Berdasarkan kepada statistik daftar kanser kebangsaan pada tahun 2008, penyakit ini juga mencatatkan peratusan yang tertinggi iaitu sebanyak 18.2 peratus berbanding penyakit kanser yang lain.

 “Penemuan kajian penduduk dan keluarga Malaysia kelima pada tahun 2014 oleh LPPKN terhadap 7,644 wanita berusia 15 hingga 59 tahun mendapati bahawa sebanyak 75.5 peratus (5,738) wanita Malaysia pernah melakukan pemeriksaan sendiri payudara.

 “Manakala 64.6 peratus (4,908) wanita pernah mendapatkan pemeriksaan klinikal payudara di klinik dan hospital.

 “Namun, kesedaran serta bilangan wanita yang menjalani pemeriksaan ini perlu ditingkatkan lagi,” katanya.

 Pada tahun 2008, sebanyak 3,209 kes baharu kanser payudara telah dilaporkan di mana kanser payudara dikesan pada tahap satu (20.4 peratus), tahap dua (38.8 peratus), tahap tiga (21.8 peratus) dan tahap empat (19 peratus).

 Data ini menunjukkan peratusan pengesanan lewat dalam kalangan wanita adalah semakin meningkat jika dibandingkan pada tahun 2007.

 Ini bermakna kos rawatan pesakit yang ditanggung oleh kerajaan juga meningkat kerana selalunya penyakit dikesan di tahap yang lewat.

 “Kadar kematian dari kanser adalah tinggi, mungkin atas sebab takut menjalani pemeriksaan awal, faktor kos, faktor mencuba ubat-ubatan alternatif atau faktor tidak sanggup menahan kesakitan ketika rawatan.

 “Mengikut perangkaan tahap pemulihan untuk kanser payudara lima tahun ialah 59 peratus.

 “Perangkaan ini boleh diperbaiki sekiranya kaum wanita dapat menjalani pemeriksaan berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh doktor masing-masing,” ujarnya.

 Pada bulan September 2011, United Nation’s Millennium Development Goals telah menyenaraikan kanser sebagai penyakit untuk diperangi di dunia secara menyeluruh.

 Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN meneruskan lagi program subsidi mamogram bagi tahun 2017.

 Kementerian menyasarkan 12,000 wanita akan mendapat faedah daripada program ini termasuk di Sarawak yang mula dibuka pada April 2017.

 Apakah kanser payudara? Kanser payudara merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada sel yang bermula dari bahagian payudara.

 Penyebab sebenar kanser payudara tidak diketahui tetapi seperti usia meningkat atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara mungkin menambahkan risiko.

 Pada satu tahap penyakit ini dapat dikesan jika berlaku pendarahan pada puting, ruam pada bahagian puting atau puting tertarik ke dalam.

 Perubahan seperti puting tertarik ke dalam adalah satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita, namun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor.

 Kanser payudara dibahagikan kepada empat tahap bermula daripada tahap satu hingga tahap empat.

 Pada peringkat tahap satu kanser, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 sentimeter (cm) ataupun kurang daripadanya dan sasaran serangan adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

 Manakala pada tahap dua kanser pula, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat antara 2 cm hingga 5 cm dan turut menyerang bahagian pada bawah ketiak.

 Apabila kanser telah berada pada tahap 3, saiz ketulan barah payudara berukuran 5 cm dan pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit atau otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

 Peringkat akhir kanser payudara ialah tahap 4 di mana serangan barah ini akan menjalar kepada bahagian serta organorgan yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara.

 Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan barah payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya.

 Rawatan kanser payudara Rawatan bagi kanser payudara ini termasuk pembedahan, rawatan radiasi, rawatan hormon dan kemoterapi.

 Namun perlu diingat bahawa pengesanan awal kanser payudara bererti rawatan lebih berkesan dan mungkin boleh dipermudahkan.

 Manakala pembedahan konservatif adalah merujuk kepada pembuangan sebahagian daripada payudara sahaja iaitu bahagian di mana kanser berada.

 Mastektomi pula merupakan bahagian pembedahan di mana seluruh payudara dibuangkan namun pembentukan semula payudara boleh dijalankan untuk mereka yang melalui mastektomi.

 Selain konvensional, kanser payudara juga boleh dirawat dengan rawatan alternatif menggunakan herba dan rawatan secara pemakanan juga boleh dilakukan.

 Namun apa juga jenis rawatan tidak boleh dicampur aduk dan disyorkan bahawa seseorang itu patut menghabiskan rawatan konvensional terdahulu sebelum berpaling kepada rawatan alternatif.

  • oleh
  • Advertisement