Anda di sini

Mahkamah tetap 31 Mei sebutan kes miliki, guna dadah warga asing

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetapkan 31 Mei  untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga asing berdepan tuduhan mengguna dan memiliki dadah berbahaya.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Gaizar Sahibbon Danuk, 20, dari Filipina didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan serta dikehendaki menjalani pengawasan serta-merta selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.25 pagi, 4 April lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama kerana memiliki dadah berbahaya jenis syabu seberat 0.13 gram.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 9.30 pagi, 4 April lalu di tepi jalan hadapan sebuah rumah di Lorong Mulia 2A-1, Tudan Fasa 2 di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Advertisement