Anda di sini

Murid dilarang sertai pertandingan catur kerana pakai gaun, nafi hak kanak-kanak

Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan penganjur sebuah pertandingan catur tidak membenarkan penyertaan seorang murid perempuan kerana memakai gaun yang didakwa ‘menggoda’ adalah penafian hak perkembangan dan penyertaan kanak-kanak, kecuali dinyatakan dalam syarat pertandingan jenis pakaian yang tidak dibenarkan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, pihak penganjur perlu memberi penjelasan berkaitan isu sebenar kanak-kanak tersebut tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu, sama ada isu pemakaian atau lain-lain.

Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada penganjur berhubung perkara itu,” kata KPWKM dalam kenyataan, di sini semalam.

KPWKM berkata, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diretifikasikan pada 1995 menyatakan semua kanak-kanak diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak-hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindungan dalam kehidupan mereka.

Justeru, katanya tindakan penganjur tersebut adalah penafian terhadap prinsip penyertaan yang merupakan satu daripada empat prinsip yang mendasari CRC, selain hak untuk kehidupan, perlindungan perkembangan dan penyertaan.

KPWKM berkata, pertandingan catur merupakan platform bagi perkembangan kanak-kanak khususnya dalam mengasah bakat-bakat terpendam serta kemahiran kanak-kanak. — Bernama

Peluang penyertaan kanak-kanak bagi aktiviti ini bukan sahaja memberikan rangsangan minda kepada kanak-kanak tetapi peluang kanak-kanak bergaul, bertukar-tukar pendapat, berkongsi pengalaman serta interaksi sosial sesama mereka daripada pelbagai kaum, jantina, latar belakang, status sosioekonomi serta kepercayaan agama,” katanya.

Pada 14 April lepas, seorang murid perempuan berusia 12 tahun terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 kerana memakai baju yang didakwa kelihatan ‘menggoda’ oleh penganjur.

Gambar yang dikongsi jurulatih murid terbabit di laman Facebooknya yang menunjukkan murid perempuan itu memakai gaun atas paras lutut, menjadi tular dan mendapat kritikan pengguna media sosial. — Bernama

Advertisement