Anda di sini

Konvoi tentera asing sasaran letupan kuat di Kabul

Advertisement
 Kakitangan keselamatan menjalankan siasatan di tempat kejadian yang menyasari konvoi tentera asing dekat kedutaan AS di Kabul, semalam. — Gambar AFP
BERKECAI: Kakitangan keselamatan menjalankan siasatan di tempat kejadian yang menyasari konvoi tentera asing dekat kedutaan AS di Kabul, semalam. — Gambar AFP

KABUL: Letupan kuat yang menyasari konvoi tentera asing berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan 25 lagi semalam, kebanyakannya orang awam, kata pegawai, serangan terbaharu di ibu kota Afghan.

Jurucakap kementerian dalam negeri Najib Danish mengesahkan jumlah kematian dalam serangan tersebut, yang berlaku pada waktu sibuk di sebelah pagi, dan memberitahu AFP: “Malangnya kebanyakan mangsa orang awam.”

Kami masih menyiasat sifat letupan, tetapi saya mengesahkan konvoi pasukan asing sedang melintas ketika letupan berlaku,” katanya.

Saksi dan imej media sosial menunjukkan tentera asing bergerak dengan menaiki trak perisai pengangkut kakitangan, standard bagi tentera antarabangsa yang bergerak di sekitar Kabul.

Satu sumber keselamatan memberitahu AFP letupan itu berlaku apabila sebuah Toyota Corolla warna putih meletup ketika konvoi berkenaan melintas. Ia tidak segera jelas sama ada ia adalah bom kereta atau serangan nekad.

Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu, yang berlaku beberapa hari selepas kumpulan Taliban melancarkan “operasi serangan musim bunga”, di mana mereka berikrar untuk menyasari tentera antarabangsa.

Operasi tahunan itu biasanya menandakan permulaan “musim berperang”, tetapi pada musim bunga ini Taliban terus memerangi tentera kerajaan.

Ketua Pentagon, Jim Mattis, yang melawat Kabul pada bulan lepas ketika AS cuba merangka strategi baharu di Afghanistan, memberi amaran tentang “setahun lagi yang sukar” di negara bergolak itu bagi tentera asing dan juga tentera tempatan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai seruan baru-baru ini oleh panglima NATO di Afghanistan, Jeneral John Nicholson, bagi “beberapa ribu” lagi anggota tentera untuk memecah “kebuntuan” dalam usaha memerangi pemberontak.

Konflik Afghan merupakan yang paling lama dalam sejarah AS – tentera NATO pimpinan AS sudah berperang di sana sejak 2001, ekoran penggulingan rejim Taliban kerana enggan menyerahkan Osama bin Laden ekoran serangan 9/11 di AS.

AS mempunyai kira-kira 8,400 anggota tentera di negara itu dengan kira-kira 5,000 lagi dari sekutu NATO.

Satu laporan baru-baru ini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan wilayah Kabul mempunyai jumlah kematian orang awam tertinggi dalam suku pertama tahun ini disebabkan oleh serangan di ibu negara.

Badan tersebut telah menyeru kepada semua kumpulan untuk mengambil setiap langkah bagi mencegah kemudaratan yang tidak perlu dan tidak boleh diterima ke atas orang awam di Afghanistan. — AFP

Advertisement