Anda di sini

Rumah Rentap dinobatkan juara keseluruhan

Advertisement

MIRI: Rumah Rentap dinobatkan juara keseluruhan bagi Kejohanan Balapan dan Padang Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) Miri 2017 berlangsung di Stadium Terbuka Miri petang Jumaat lalu.

 Dengan kutipan mata berjumlah 377, Rumah Rentap turut berjaya mengekalkan gelaran juara selama lima tahun berturut-turut dan menerima piala pusingan.

 Tempat kedua diraih pasukan Rumah Rosli Dhoby dengan kutipan mata 363 manakala ketiga dimenangi Rumah Panglima Seman dengan jumlah mata 305.

 Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil.

 Hadir sama Pengetua KTDTHB Miri Hasimah Abang Zen, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KTDTHB Miri, Basil Thomas serta tetamu lain.

 Kejohanan itu menyaksikan atlet terbaik kategori lelaki 13 tahun dimenangi Melvert Thamby dari Rumah Rentap, Carlos Shedik dari Rumah Rosli Dhoby (lelaki 15 tahun) manakala Ashley Paru Pengiran (Rumah Rentap) bagi lelaki 18 tahun.

 Atlet terbaik wanita kategori 13 tahun dimenangi Vienna Teresa dari Rumah Rosli Dhoby, Shaohannah Grace dari Rumah Patinggi Ali (wanita 15 tahun) dan Georgia Lirek Tihin dari Rumah Rentap bagi kategori wanita 18 tahun.

 Hasimah dalam ucapan aluannya berkata, sejumlah 344 orang pelajar KTDTHB Miri terlibat dalam acara tahunan sukan terbabit dengan lima acara padang dan lapan acara balapan.

 Kejohanan tersebut bagi memupuk semangat kesukanan kalangan pelajar selain mencari potensi atlet-atlet baharu untuk diasah dan diketengahkan bagi mewakili sekolah tersebut.

 “Diharapkan atlet-atlet berpotensi diberikan latihan konsisten dalam usaha kita terus mencapai kejayaan dalam sukan khususnya peringkat sekolah, daerah dan seterusnya kebangsaan.

 “Malah, KTDTHB Miri juga mempunyai prestasi baik dalam bidang sukan dan buktinya dilihat apabila kita berjaya mencapai kedudukan keempat pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Bahagian Miri,” katanya.

Advertisement