Anda di sini

ASEAN bersedia bagi gelombang seterusnya

Advertisement
 Najib dan Rosmah bersama Ketua-ketua Negara ASEAN melambai tangan ketika bergambar pada Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 di Manila, kelmarin. — Gambar Bernama
SIDANG KEMUNCAK: Najib dan Rosmah bersama Ketua-ketua Negara ASEAN melambai tangan ketika bergambar pada Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 di Manila, kelmarin. — Gambar Bernama

Belajar daripada Brexit, menekankan manfaat pembangunan yang perlu dirasai rakyat

MANILA: Negara anggota ASEAN mengiktiraf keperluan bagi perkumpulan serantau itu bersedia dan dapat memaksimumkan peluang daripada Revolusi Perindustrian Keempat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

 Dalam Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 pada Sabtu, ASEAN turut menegaskan keperluan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang inklusif dan saksama.

 Perkumpulan 10 negara anggota itu menyambut baik tema, ‘Pertumbuhan diterajui Inovasi, Inklusif’, bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di bawah Filipina sebagai Pengerusi ASEAN.

 Manila bersedia untuk melaksanakannya melalui tiga langkah strategik, iaitu meningkatkan perdagangan dan pelaburan, menyepadukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dalam Ekonomi Digital, dan membangunkan ekonomi yang dipacu inovasi.

 “Mengambil pengajaran daripada Brexit, kami menekankan manfaat daripada pembangunan komuniti ASEAN yang perlu dirasai oleh rakyatnya,” menurut kenyataan 124 perkara itu.

 Mengenai perkembangan lain, katanya para pemimpin mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

 “Kami menekankan persekitaran ekonomi yang lembap dan trend terhadap dasar perlindungan yang meningkatkan keperluan untuk mencapai Perjanjian RCEP yang moden, menyeluruh, berkualiti tinggi dan saling memberi manfaat, dan mempunyai potensi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi global, meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan memudahkan pembangunan ekonomi yang saksama bagi semua negara yang menyertai RCEP,” menurut kenyataan 25 muka surat itu.

 Para pemimpin berkata mereka telah mengarahkan menteri dan perunding untuk menggandakan usaha membina momentum kukuh yang dicapai setakat ini dan mengulangi gesaan mereka untuk mendukung konsep Kepusatan ASEAN dalam mencari resolusi bagi isu-isu yang tertangguh.

 “Kami mengulangi komitmen kami untuk bekerjasama sejajar dengan Prinsip Panduan dan Objektif untuk Perundingan RCEP ke arah memuktamadkan rundingan RCEP.

 “ Perkumpulan itu turut mengalu-alukan pengukuhan kerjasama ekonominya dengan Rakan Dialog melalui Pelan Hala Tuju Kerjasama Strategik 10 tahun ASEANJepun yang diperbaharui, pelaksanaan AS-ASEAN Connect, Pelan Kerja 2016- 2020 untuk melaksanakan Deklarasi Bersama ASEANKanada mengenai Perdagangan dan Pelaburan, Program Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-Rusia Pasca 2015, dan Program Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-EU 2017-2018.

 Pemimpin ASEAN turut menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam merealisasikan ASEAN RO-RO, terutamanya perjalanan pertama ASEAN Roll-on Roll-off (RORO) Sea Linkage Route antara Davao-General Santos (Filipina)- Bitung (Indonesia), yang dilancarkan pada 30 April, 2017 di Davao City, Filipina dan antara penghantaran keutamaan ekonomi di bawah Filipina sebagai Pengerusi ASEAN.

 “Inisiatif itu akan meningkatkan hubungan ASEAN dan terus memudahkan perdagangan dan pelancongan, selain memberi dorongan yang lebih besar kepada pelaksanaan pengangkutan multimodal di rantau ASEAN,” katanya.

 — Bernama

Advertisement