Anda di sini

Terima manfaat PERKESO selepas 23 tahun

Advertisement

Tan yang tidak tahu tentang caruman dibuat mendiang suaminya, terima manfaat itu semalam

KUCHING: Kerana kurang pengetahuan mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dibuat mendiang suaminya, Tan Gek Hiang, 58, hanya menerima manfaat selepas 23 tahun berlalu.

Tan, yang belum sempat menimang cahaya mata dengan mendiang suaminya memberitahu, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mendapat manfaat daripada PERKESO kerana tidak mempunyai maklumat mengenai caruman dibuat oleh mendiang suaminya.

Menurut Tan suaminya meninggal pada 27 Oktober 1994 pada usia 36 tahun kerana sakit, sebelum itu bekerja sebagai juruelektrik dengan sebuah syarikat swasta di sini.

Sejak itu Tan tinggal bersama kakaknya dan tidak berkahwin semula, kini bekerja sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta di sini bagi menyara kehidupannya.

Semuanya bermula selepas kakak saya menghadiri  satu seminar mengenai kepen-tingan mencarum dengan PERKESO pada 7 Januari 2017 anjuran persatuan komuniti.

Kakak saya memaklumkan yang saya boleh menuntut manfaat daripada PERKESO selepas dia menghadiri se-minar itu.

Pada mulanya saya berasa bimbang kerana pertama saya tidak pasti ada atau tidak menyimpan sebarang dokumen mengenai caruman mendiang suami, tidak tahu siapa majikannya, yang ada hanya sekeping sijil kemati-an,” katanya.

Tambahnya, timbul juga sedikit rasa malu untuk tampil mengemukakan tuntutan kepada PERKESO.

Namun dorongan dan bantuan Persekutuan Persatuan Komuniti Bahagian Kuching (PPKBK) yang merupakan penganjur bersama seminar dihadiri kakaknya, Tan gagahkan semangat untuk menuntut haknya.

Sebenarnya saya sangat tersentuh dengan apa yang saya dapat hari ini dan berharap kalau ada mereka di luar sana yang sama seperti saya, tampillah menuntut hak anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ringkas penyerahan pampasan PERKESO yang disempurnakan oleh Pengarah PERKESO Sarawak Philip Sangkan di kediaman kakak Tan di sini semalam.

Hadir sama Presiden PPKBK Datuk Sim Swee Yong, Penolong Setiausaha Agung PPKBK Sim Kiang Chiok dan Setiausaha PPLBK yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Lintang Sih Hua Tong.

Sementara itu Philip ber-kata selain mendapat pampasan yang dibayar sekali gus, Tan juga akan menerima bayaran berkala dan pencen bulanan sebagai waris mendiang suaminya.

Katanya kes Tan adalah yang terpencil dan sangat istimewa kerana walaupun sudah lama, waris pencarum masih mendapat liputan atau manfaat PERKESO.

Bermakna apabila tiada caruman dibuat (dengan PERKESO), tidak bermaksud tiada liputan PERKESO.

Maknanya jika ada kes kematian pencarum, 10 tahun, 20 tahun yang lalu, tiada had masa untuk membuat tuntutan manfaat PERKESO. Asalkan pemohon memenuhi semua syarat ditetapkan,” jelasnya.

Perkara terbaik menyelesaikan masalah itu pemohon atau waris pencarum tampil bersemuka dengan pegawai PERKESO bukan melalui orang tengah.

Tambahnya tiada had masa untuk kes tuntutan manfaat oleh pewaris seperti dialami Tan.

Kes ini (Tan) kes yang sangat istimewa, selepas 23 tahun dapat diselesaikan dengan baik.

Kredit kepada Datuk Sim dan pasukannya yang membangkitkan kes ini kerana tanpa bantuan mereka, kes ini tidak akan selesai. Terima kasih,” katanya.

Oleh itu, kata Philip, setiap pekerja warganegara Malaysia dimestikan mencarum dengan PERKESO.

Ini kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Jika berlaku perkara tidak diingini kepada pencarum seperti kes Puan Tan, waris akan mendapat manfaat,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement