Anda di sini

Masyarakat Orang Ulu boleh memilih kahwin melalui JPN atau MAIS: Ding

Advertisement

KUCHING: Masyarakat Orang Ulu boleh memilih untuk berkahwin menerusi Pendaftar Perkahwinan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau melalui ketua-ketua masyarakat di bawah bidang kuasa Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

Pegawai Pentadbiran Seksyen Orang Ulu MAIS, Ding Seling berkata Orang Ulu merangkumi Kayan, Kenyah serta lain-lain yang mahu berkahwin mengikut tradisi sama ada di rumah panjang atau kampung boleh berbuat demikian dengan disempurnakan keluarga serta ketua masyarakat.

Pasangan dan ahli keluarga boleh meminta ketua masyarakat melangsungkan upacara perkahwinan serta mengeluarkan sijil perkahwinan.

Beliau berkata, perkahwinan tradisional Orang Ulu dan bangsa lain di Sarawak adalah amat berwarna-warni dengan pelbagai upacara atau undang-undang adat untuk dipatuhi kerana mempunyai banyak pantang larang khususnya sebelum dan selepas majlis.

“Sebagai contoh, apabila wanita dipilih sebagai pengantin, beliau disoal siasat oleh keluarga pengantin lelaki khususnya mengenai status dan latar belakang atau beliau tidak akan diterima,” katanya ketika menjelaskan adat perkahwinan tradisional Kaum Orang Ulu – perkahwinan tradisional Kayan dan Kenyah di Pustaka Negeri, di sini semalam.

“Dalam tradisi masyarakat Orang Ulu dan masyarakat pribumi lain, pasangan tidak boleh tinggal bersama sehingga berkahwin dan jika mereka berbuat demikian, kedua-dua pihak perlu saling komited untuk berkahwin dan ahli-ahli keluarga akan menyuruh mereka berkahwin secepat mungkin,” katanya.

Ding berkata, dalam undang-undang adat Kayan dan Kenyah pasangan juga tidak boleh berkahwin begitu sahaja tetapi perlu mematuhi banyak undang-undang adat kerana wujud kelas sosial kalangan lelaki dan wanita serta keluarga dan rumah panjang sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan.

“Kini ada pilihan namun kami berharap perkahwinan tradisional Kayan dan Kenyah akan terus kekal bagi memastikan nilai-nilai dan adat unik terus diamalkan.

“Untuk itu, kita perlu mendedahkan budaya kita yang indah kepada generasi muda dan orang ramai,” katanya.

Advertisement