Anda di sini

Pemuda Pakatan Harapan Sarawak ditubuhkan perkukuh politik pembangkang

Advertisement
 Yii (barisan hadapan, tengah) bersama (dari dua kiri) Fadillah, Siah, Saifunnizam dan ahli Pemuda PHS bergambar selepas mengumumkan penubuhan Pemuda PHS.
BERSATU UNTUK PEMUDA: Yii (barisan hadapan, tengah) bersama (dari dua kiri) Fadillah, Siah, Saifunnizam dan ahli Pemuda PHS bergambar selepas mengumumkan penubuhan Pemuda PHS.

KUCHING: Pemuda Pakatan Harapan Sarawak (PHS) ditubuhkan semalam terdiri daripada Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPsY), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Amanah Sarawak.

Wakil DAPsY Kelvin Yii berkata tujuan utama insiatif itu ialah menyediakan landasan yang kukuh untuk penyertaan aktif Pemuda PHS dalam politik serta pembangunan negara.

Pada masa sama katanya, penubuhan Pemuda PHS bertujuan mempromosikan peranan golongan muda sebagai pengaruh serta penggerak yang lebih baik dalam politik Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Kami percaya dengan potensi yang ada pada golongan belia walaupun ada pihak cenderung mengatakan belia pemimpin masa depan, kami amat percaya mereka adalah pemimpin hari ini dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Ketua AMK Simon Siah, Ketua Pemuda Amanah Sarawak Mohamad Fadillah Sabali dan Ketua Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifunnizam Sam.

Yii yang juga pembantu khas Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata selama ini belia hanya menjadi pemerhati dan ‘budak’ dalam dunia politik dan sudah tiba masanya untuk golongan tersebut memperkasakan diri dengan memikul peranan lebih penting membentuk masa depan negara.

“Suara pemuda seharusnya tidak hanya didengari tetapi mempengaruhi pembentukan dasar-dasar yang memberi kesan kepada belia dan keluarga serta pembangunan negara.

“Berdasarkan kepercayaan ini, hari ini (semalam) kami bersatu dan mahu mencadangkan Manifesti Anak Muda Sarawak (MAMS) melibatkan lima tuntutan serta cadangan berhubung perkara yang memberi kesan kepada belia di negeri ini,” katanya.

Lima tuntutan itu ialah pengajian tinggi percuma, lebih banyak rumah mampu milik dibina, memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada golongan belia, meningkatkan gaji minimum untuk Sarawak serta Sabah setanding Semenanjung Malaysia dan melakukan perubahan ke atas Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti.

Manifesto itu akan dikemukakan kepada kepimpinan Pakatan Harapan Sarawak berikutan manifesto sama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

“Selain itu kita juga bergerak bersama sebagai persiapan menghadapi PRU ke-14 menentang Barisan Nasional (BN) selain menghentikan amalan rasuah, penindasan dan tadbir urus yang tidak baik,” jelasnya.

Advertisement