Anda di sini

Lembaga Air Sibu berdepan cabaran besar capai sasaran

Advertisement
 Sudin (tengah) pada sidang media di Sibu semalam.
MAKLUMAT: Sudin (tengah) pada sidang media di Sibu semalam.

SIBU: Lembaga Air Sibu (LAS) berdepan cabaran besar mencapai sasaran sebanyak 25 peratus pada 2020 bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW).

Pengurus Besarnya Sudin Jaya berkata program dirancang untuk mengurangkan NRW masih belum pasti membuahkan hasil kerana  bergantung kepada jumlah peruntukan diagihkan kepada LAS.

“Adalah sukar untuk kami mencapai sasaran tersebut kerana Sibu tidak seperti kawasan lain di negeri ini memerlukan peruntukan besar menjayakan program tersebut.

“Sekiranya bajet diperuntukkan tidak mencukupi maka program dirancang itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Sudin, pada 2016 kadar kehilangan air ditanggung LAS sebanyak 34 peratus.

Katanya masalah utama dihadapi LAS ialah faktor geografi Sibu terletak di kawasan tanah paya yang menyumbang kekerapan berlaku kejadian paip bocor rentetan struktur tidak kukuh.

“Bila kami hendak memasang paip besar menyalurkan bekalan air, kami perlu memasang cerucuk di kawasan tanah paya dan ini memerlukan kos sangat tinggi,” jelas beliau.

Sudin memberitahu, pihaknya juga sering menerima aduan mengenai tekanan air rendah daripada orang ramai.

Katanya insiden seumpama itu dilaporkan sering berlaku di Sungai Assan dan Pasai Siong serta kawasan lain memandangkan lokasi tersebut jauh dari stesen pam serta paip air sering bocor kerana usang.

“Bagaimanapun, kami tetap mengalu-alukan orang ramai membuat aduan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan LAS dan mengurangkan pembaziran air disebabkan paip bocor,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Lau Pon Yin dan Pengurus Korporat dan Khidmat Pelanggan Ariffin Kahar.

Advertisement