Anda di sini

DUBS Miri harap lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan untuk Bumiputera

Advertisement

MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri berharap agar lebih banyak ruang dan peluang ekonomi diwujudkan untuk kaum Bumiputera di sini khususnya golongan wanita.

Pengerusi Usahawanita DUBS Miri Khatijah Sheikh Kassim berkata masyarakat peniaga Bumiputera di sini masih ketinggalan bukan sahaja peluang perniagaan malah ruang-ruang berniaga seperti rumah atau bangunan kedai.

Menurutnya, walaupun terdapat rumah-rumah kedai dimajukan oleh syarikat swasta namun harga sewaannya agak tinggi dan tidak mampu ditanggung terutama golongan Bumiputera yang baharu berkecimpung dalam perniagaan.

Perkara tersebut merupakan antara isu-isu dibincangkan bersama Residen Bahagian Miri yang baharu Sherrina Hussain semasa kunjungan hormat DUBS Miri di pejabat residen di sini kelmarin. 

Kunjungan hormat itu diketuai Penasihat DUBS Datuk Ibrahim Din dan Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Timbalan Pengerusi DUBS Miri Julaini Mokhtar.

Semasa kunjungan tersebut, Julaini berkata DUBS melahirkan rasa gembira dengan pelantikan Sherrina sebagai residen bahagian Miri yang baharu kerana beliau merupakan anak jati Miri dan anak saudara bekas Residen Miri 70-an, Datuk Ani Lampam.

“DUBS Miri amat gembira dengan pelantikan beliau dan berjanji memberi kerjasama terbaik kepada beliau terutama membantu mengangkat taraf ekonomi Bumiputera termasuk golongan peniaga,” katanya.

Menurut Julaini, DUBS Miri turut berharap residen baharu itu dapat membantu meningkatkan peluang-peluang perniagaan masyarakat Bumiputera di sini.

Pada masa sama, DUBS Miri berharap lebih banyak disediakan bagi mengatasi masalah kekurangan ruang perniagaan selain disediakan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES).

Turut hadir Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Yusop serta Setiausaha DUBS Razak Joni dan hampir 20 ahli jawatankuasa tertinggi DUBS Miri dan Usahawanita DUBS Miri.

Advertisement