Anda di sini

Anuar mengetuai Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja

Advertisement
 Bustaman menyerahkan tongkat kuasa 10 RRD daripada Azman (kiri) kepada Anuar (kanan) bagi meneruskan kepimpinan pasukan itu dengan penuh istiadat ketenteraan.
PEMIMPIN BAHARU: Bustaman menyerahkan tongkat kuasa 10 RRD daripada Azman (kiri) kepada Anuar (kanan) bagi meneruskan kepimpinan pasukan itu dengan penuh istiadat ketenteraan.

KUCHING: Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) Leftenan Kolonel Anuar Ahmad akan meneruskan tampuk kepimpinan pasukan tersebut agar lebih cemerlang.

Menurut beliau negeri Sarawak amat dekat di hatinya dan dengan senang hati menerima pelantikan tersebut ekoran sebelum ini pernah berkhidmat lama di sini.

“Perkhidmatan paling lama saya adalah di Sarawak iaitu sejak 1997 sebelum bertukar dua kali dan kembali semula ke sini,” katanya ketika ditemui selepas selesai Perbarisan Serah Tugas Pegawai Memerintah 10 RRD di Padang Kawad Pasukan 10 RRD, Kem Muara Tuang semalam.

Anuar sebelum kembali semula ke Sarawak pernah berkhidmat di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera di ibu negara selama setahun.

Pasukan 10 RRD sejak 13 Julai 2015 hingga 18 April tahun ini berada di bawah kepimpinan Pegawai Memerintah 10 RRD Leftenan Kolonel Azman Zainudin yang merupakan yang ke-10 sejak awal penubuhan pasukan tersebut.

Beliau akan bertukar ke Markas 2 Divisyen, Pulau Pinang sebagai Pegawai Staf 1 Gerak dan akan melaporkan diri bermula 20 April ini.

Kejayaan terbesar Azman adalah menjadikan pasukan berstatus pengoperasian yang mana pasukan 10 RRD berjaya menjalankan tugasan operasi di perbatasan negeri Sarawak-Kalimantan di bawah tanggungjawab 3 Briged.

Pasukan terhutang budi atas jasa beliau meyakinkan pemerintah atasan untuk menjadikan 10 RRD Pusat Latihan Sukan bagi 3 Briged dan 1 Divisyen amnya.

Semalam, upacara menandatangani sijil serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa memerintah dilaksanakan di hadapan saksi yang juga Panglima 3 Briged Brigidier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin.

Perbarisan telah diadakan mengikut istiadat ketenteraan dengan melibatkan 15 pegawai dan 230 anggota lain-lain pangkat.

Advertisement