Anda di sini

SIDCA yakin mampu kembang budaya, tarian Iban di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Persatuan Budaya dan Tarian Iban Sarawak (SIDCA) meraikan sambutan ulang tahun pertama persatuan dengan mengadakan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Pertama yang berlangsung di Crowne Square, di sini malam kelmarin.

Menurut Presiden SIDCA Ajat Sumoh, walaupun persatuan itu baharu berusia setahun, namun pihaknya yakin mampu mengembangkan lagi fenomena budaya dan tarian Iban di negeri ini.

Ini kerana jelasnya, persatuan itu menunjukkan kemajuan yang begitu cepat, malahan berjaya melengkapkan semua perancangan yang direncana tahun lalu sejak penubuhannya.

Banyak aktiviti yang melibatkan budaya dan tarian Iban telah dilaksanakan oleh SIDCA pada tahun lalu.

Justeru kita berharap akan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Antara aktiviti yang dianjur SIDCA tahun lalu termasuk Teater Kebudayaan Iban yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang.

Menyifatkan penganjuran teater itu sebagai kejayaan sulung persatuan tersebut, Ajat mengambil kesempatan melahirkan ucapan tahniah kepada persatuan dan berharap lebih banyak teater seumpama itu dapat dianjurkan bagi mempamer kebudayaan dan sejarah nenek moyang Iban pada tahun ini.

Dengan menganjurkan teater seperti ini, ia menjadi salah satu pendekatan bagi kita untuk membawa lebih banyak pembangunan budaya dan tarian Iban khusus kepada media massa dan untuk ini diharap projek ini dapat disokong sepenuhnya,” jelasnya.

Sementara itu, Lo dalam ucapannya berharap masyarakat Iban di Sarawak akan melakukan apa sahaja bagi memelihara kebudayaan yang membawa keunikan bangsa itu sendiri.

Daripada apa yang saya lihat, kebudayaan juga dapat ditukar menjadi tarikan pelancongan dan kebudayaan yang ada di Sarawak serta masyarakatnya yang unik, dengan promosi yang baik pasti ia dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri kita,” jelasnya.

Pada majlis sama, Lo turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada SIDCA selain peruntukan RM10,000 yang turut disumbang Ahli Parlimen Saratok merangkap Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom.

Kedua-dua geran daripada Lo dan Mawan itu adalah bertujuan membantu SIDCA menganjur lebih banyak aktiviti dan program pada masa akan datang.

Turut hadir Panglima 1Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Naib Presiden III Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Churchill Edward.

Advertisement