Anda di sini

Ops Bersepadu di Bintulu capai kejayaan

Advertisement
 Zailanni (dua kiri) bersama DSP Jame (kiri), Muhamad Yakup dan Dino (kanan) bertepuk tangan mendengar amanat memberangsangkan daripada Tiong.
KERJASAMA: Zailanni (dua kiri) bersama DSP Jame (kiri), Muhamad Yakup dan Dino (kanan) bertepuk tangan mendengar amanat memberangsangkan daripada Tiong.

51 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dalam operasi disertai pelbagai agensi 

BINTULU: Ops Bersepadu membanteras jenayah, penyalahgunaan dadah, kesalahan lalu lintas dan sebagainya bersama pelbagai agensi sejak kelmarin dan berakhir semalam memahat kejayaan dengan penangkapan 51 orang atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Suprintendan Zailanni Amit berkata operasi melibatkan usaha memerangi dadah, jenayah dan kesalahan trafik melibatkan pemeriksaan pusat-pusat hiburan.

Tindakan itu diambil dengan mengambil kira rungutan masyarakat,” katanya pada Majlis Penghargaan Ops Bersepadu pelbagai agensi lain di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak empat pusat hiburan diperiksa di pusat bandar lama, sekatan jalan raya mengesan kesalahan trafik disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, operasi turut dilakukan di Sungai Plan Kidurong disertai dua kumpulan penguat kuasa bermula jam 10 malam hingga 2 pagi dan seterusnya jam 4 hingga 10 pagi di Sebauh.

Keseluruhan operasi membuat tangkapan membanggakan hasil pemeriksaan ke atas 360 orang dan 51 daripadanya ditangkap berikutan positif pelbagai kesalahan jenayah,” jelasnya.

Beliau berkata, operasi turut disertai oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) juga menumpu kepada pihak melakukan kesalahan syariah.

Daripada operasi itu seorang bomoh bersama peralatannya  berada di rumah tumpangan pasar lama Bintulu turut dikesan kerana menyalahi enakmen syariah,” katanya sambil menambah operasi disertai 174 anggota pelbagai agensi.

Zailanni berterima kasih atas komitmen pihak menyertainya seperti Pejabat Residen dan Daerah Bintulu, Jabatan Imigresen, JAIS turut disertai anggota dari Kuching, BDA, SPRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan sebagainya.

Agensi terlibat memainkan peranan hebat dari segi keperluan berkaitan operasi termasuk penyediaan logistik, tenaga kerja serta operasi membanteras kegiatan pecah rumah dan sebagainya,” ujar beliau.

Katanya, operasi bersepadu itu merupakan kali pertama dilaksanakan pihaknya dan tidak berakhir setakat itu sebaliknya diteruskan pada masa akan datang.

Operasi membanggakan itu merupakan hasil komitmen semua serta mencapai objektif,” katanya.

Advertisement