Anda di sini

Dua warga Bangladesh cedera dilanggar kereta

Advertisement

KUCHING: Seorang pelajar warga Bangladesh cedera di bahagian kepala manakala rakannya dikhuatiri patah tulang pinggang apabila motosikal dinaiki dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Jalan Rock di sini, awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 5 pagi itu, lelaki warga asing berusia 19 tahun yang menunggang motosikal bersama seorang rakan wanita tercampak ke atas jalan manakala motosikal mereka tercampak ke tengah jalan.

Namun difahamkan, kereta terlibat dalam kemalangan gagal berhenti dan sebaliknya memecut ke pusat bandar raya.

Penduduk berhampiran yang menyedari insiden tersebut turut memberi bantuan dengan mengawal trafik sementara pasukan polis serta ambulans tiba.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan kecemasan.

Mangsa lelaki bagaimanapun dirujuk ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut sekitar jam 10 pagi.

Difahamkan, nombor plat kenderaan serta logo kenderaan turut dijumpai di lokasi kejadian, dipercayai milik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki terselamat apabila kenderaan jenis pikap dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu di Jalan Simpang Tiga di sini.

Kejadian sekitar jam 1 pagi itu dikatakan berlaku ketika hujan serta permukaan jalan licin.

Pemandu dalam lingkungan usia 30-an tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Advertisement