Anda di sini

PEMADAM dapat suntikan dana RM500,000 daripada k’jaan negeri

Advertisement

KUCHING: Inisiatif Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) untuk membanteras dadah di seluruh negeri akan terus diperkasa apabila menerima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan negeri, baru-baru ini.

Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Pengerusi PEMADAM Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peruntukan itu akan membolehkan program pendidikan pencegahan dadah diperluaskan ke kawasan-kawasan lain berbanding sebelum ini yang banyak tertumpu di Kuching serta Kota Samarahan atas kekangan dana.

Dalam mesyuarat kabinet negeri baru-baru ini, kerajaan negeri meluluskan RM500,000 iaitu tiga kali ganda untuk kita menjalankan program-program ke Limbang, Miri dan tempat-tempat lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Dadah Akan Musnahkan Akal dan Iman (DAMAI) anjuran bersama PEMADAM Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kerjasama Kejiranan Mesra (KJM) Taman Hussein/Rahmat di Masjid Darul Husni Warrahmat di Taman Hussein/Rahmat, Petra Jaya di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sharifah Aishah Tengku Fauzi.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, sasaran untuk mencapai sifar dadah bukan satu perkara mustahil dengan adanya program-program mantap bagi memerangi najis dadah.

Beliau turut menjadikan New Zealand dan Korea sebagai contoh negara yang bebas dari belenggu masalah dadah dan perkara itu boleh dicapai apabila kesedaran dapat diterap dalam diri masyarakat bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara.

Kita mesti sama-sama berganding baharu dalam membendung masalah ini daripada terus merebak. Ibu bapa juga berperanan besar, bukan sahaja dari segi memberi pendidikan (tentang dadah), malah perlu memastikan anak-anak tidak terjebak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim melahirkan harapan agar satu undang-undang digubal untuk mencegah penggunaan ubat batuk atau gam yang disifatkan murah serta mudah didapati.

Selain itu, katanya, trend semasa turut menunjukkan dadah sintetik seperti syabu atau Methamphetamine terus popular berbanding heroin, morfin, marijuana dan opium.

Kini syabu iaitu dadah sintetik yang boleh dibuat di rumah menerusi proses penyulingan atau ‘ice,’ mudah didapati sama ada dalam bentuk pil atau kristal,” katanya sambil menyeru agensi-agensi pencegahan dadah untuk menfokuskan ‘trend’ tersebut.

Sementara itu, Fazzrudin menyeru golongan belia untuk menyokong usaha-usaha pemimpin mereka dalam pembangunan belia di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai program dirangka untuk kebajikan dan kebaikan belia, namun ia tidak akan membawa makna tanpa sokongan-sokongan golongan tersebut.

Pembangunan belia memerlukan usaha semua pihak. Jika para pemimpin menyokong belia, maka belia juga perlu menyokong pemimpin-pemimpin,” katanya.

Majlis turut menyaksikan Abdul Karim mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada JKKK Taman Hussein/Rahmat, manakala Fazzrudin memperuntukkan RM2,000.

Advertisement