Anda di sini

Jaga tepi kain jiran dengan niat membantu

Advertisement

MIRI: Penting untuk masyarakat sekarang ini menjaga tepi kain orang dengan tujuan membantu bukan mengata atau mengutuk.  

Menteri Muda Solidariti, Rosey Yunus berkata, prihatin terhadap masalah menimpa jiran tetangga cara terawal mengelak daripada masalah menjadi lebih besar. 

Antara kes perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan dadah dan penderaan.  

“Dulu menjaga tepi kain orang memang perkara yang dianggap negatif. Tetapi sekarang, menjaga tepi kain orang ertinya, apa patut kita bantu, kita datang membantu melalui pemerhatian kita. 

“Menjaga tepi kain orang perlu untuk memastikan masyarakat kita tenteram dan selamat,” jelas Rosey.  

Beliau berkata demikian merasmikan Program Pendidikan Keselamatan dan Jom Ronda Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Kampung Piasau Utara, malam kelmarin. 

Mengulas mengenai penyalahgunaan dadah, beliau meminta ahli keluarga untuk membuang rasa malu menghantar penagih ke pusat pemulihan untuk tujuan rawatan dan perubatan.  

Kata Rosey, jiran tetangga boleh memainkan peranan membantu menasihat dan menghantar penagih ke pusat tersebut sekiranya ahli keluarga tidak berkemampuan menanganinya.  

“Tidak perlu untuk berasa malu. Kita bertindak mengubat dan memperbaiki. Generasi muda kita dikacau melalui dadah, jika jadi penagih dadah, masa depan mereka akan musnah, ‘ tegas Rosey.  

Beliau yakin bekas penagih akan diterima kembali oleh masyarakat sekiranya mereka insaf dan tidak kembali terjebak dalam kancah dadah.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu berkata, penyalahgunaan dadah antara faktor kes jenayah seperti pecah rumah dan kecurian di kawasan kediaman. 

Sokongan sukarelawan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diperlukan untuk mengawasi sekaligus mengelak kediaman sebagai pusat penagihan dadah dan jenayah.  

“Bila ada rondaan, ia memberi rasa selamat dan menakutkan orang ingin membuat jahat. Ini kerana kehadiran kita sangat signifikan kepada masyarakat kita, “ katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa pertubuhan lain seperti jawatankuasa surau, gereja, wanita dan belia untuk terlibat dalam rondaan bersama SRS. 

Rosey yakin penglibatan mereka akan menanam rasa tanggungjawab dan menguatkan semangat kejiranan untuk bersama menjaga keselamatan kediaman.  

Dalam pada itu, program pendidikan melibatkan ceramah rawatan dan pemulihan dari pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), tindakan awal komuniti kes kecemasan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan operasi SRS  

Sebelum rondaan, peserta disampaikan taklimat tentang tangkapan dan prosedur rondaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Perkongsian ilmu diharap meningkatkan pemahaman ahli SRS tentang peranan agensi keselamatan serta tindakan yang perlu dilakukan ketika berdepan penjenayah dan kecemasan.  

Hadir sama ialah Datuk Bandar, Adam Yii, Residen Miri, Sherrina Hussaini, Pegawai Perpaduan Bahagian Miri, Giri Nyareng. 

Advertisement