Anda di sini

BR1M bantu ringan beban rakyat

Advertisement
 Dennis (kanan) menyampaikan baucar BR1M kepada salah seorang penerima terdiri daripada kaum Penan, semasa majlis penyampaian baucar tersebut di Long Bedian, kelmarin.
TERIMALAH: Dennis (kanan) menyampaikan baucar BR1M kepada salah seorang penerima terdiri daripada kaum Penan, semasa majlis penyampaian baucar tersebut di Long Bedian, kelmarin.

MIRI: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan insentif berjaya membantu golongan memerlukan khasnya di kawasan pedalaman Baram. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, BR1M merupakan kaedah terbaik pemberian bantuan secara terus kepada golongan sasaran. 

“Pemberian BR1M ini satu usaha murni kerajaan memastikan golongan miskin tegar diberi bantuan. Saya tahu masih terdapat komuniti Telang Usan tidak mampu memperoleh pendapatan sebanyak bantuan BR1M yang diterima. 

“Justeru, BR1M sekurang-kurangnya dapat membantu golongan miskin membeli barangan keperluan harian,” katanya. 

Beliau berkata demikian majlis penyampaian baucar BR1M kepada lebih 200 penduduk terdiri daripada kaum Penan dan Kayan di Long Bedian, kelmarin. 

Dennis menambah, BR1M membolehkan rakyat menikmati bantuan terus kerajaan khususnya dalam peningkatan kos sara hidup kini. 

“Rakyat sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan. Inisiatif kerajaan itu patut diterima secara positif. 

“Sudah menjadi kewajipan kerajaan mengambil berat ke atas kebajikan rakyat ketika kos sara hidup yang makin meningkat,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan penerima bantuan agar menggunakan wang tersebut dengan berhemah untuk membeli keperluan harian seperti makanan. 

“Sebagai contoh penerima bantuan sebanyak RM1,200, mereka boleh mengagihkan wang tersebut setiap bulan untuk membeli gula, beras dan keperluan harian yang lain.  

“Saya berharap penerima merancang perbelanjaan dengan baik bukannya menghabis BR1M untuk rokok atau alkohol,” katanya. 

Dennis turut menasihatkan penerima BR1M membuka akaun bank bagi memudahkan bantuan itu disalurkan pada tahun hadapan. 

“Saya banyak menerima pertanyaan mengenai BR1M. Penduduk di Telang Usan kini boleh menyemak status mereka di pejabat daerah di Long Lama atau Pusat Khidmat Dun Telang Usan,” katanya. 

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak, Ezra Uda, Ketua Kampung Long Bedian Usung Wan, Kaunselor Jau Eng Aran dan Kaunselor Jok Ngau. 

  • oleh
  • Advertisement