Anda di sini

Filipina kerah askar tambahan ke Bohol

Advertisement
 Ketua Staf Tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano mengadakan sidang akhbar di Kem Aguinaldo, ibu pejabat tentera di Quezon City, Metro Manila semalam. Turut hadir Naib Laksamana Narciso Vingson (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina (PNP) Ramon Apolinariio. — Gambar Reuters
TAMBAH ANGGOTA: Ketua Staf Tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano mengadakan sidang akhbar di Kem Aguinaldo, ibu pejabat tentera di Quezon City, Metro Manila semalam. Turut hadir Naib Laksamana Narciso Vingson (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina (PNP) Ramon Apolinariio. — Gambar Reuters

Operasi berdarah untuk mengusir militan bersenjata berat masuk hari kedua

MANILA: Filipina menghantar tentera tambahan ke salah sebuah pulau pelancongannya yang paling terkenal semalam ketika satu operasi berdarah untuk mengusir puak militan Islam bersenjata berat memasuki hari kedua.

 Pihak tentera berkata bilangan kematian meningkat kepada 10 sebelum subuh selepas tentera kerajaan membunuh lelaki bersenjata keenam yang dipercayai anggota Abu Sayyaf, sebuah kumpulan yang berpangkalan di selatan Filipina dan menjanjikan taat setia kepada kumpulan Islamic State (IS).

 Pegawai tempatan berkata sekurang-kurangnya 10 lelaki bersenjata belayar ke hulu sungai Isnin lepas ke sebuah kawasan desa di Pulau Bohol, salah satu tarikan pelancongan utama di negara itu, yang menimbulkan kebimbangan bahawa mereka berada di sana untuk menculik pelawat asing yang melancong sempena percutian Paska.

 “Kami masih membawa masuk anggota baharu untuk membantu mereka yang berada di kawasan ini, menggantikan mereka jika perlu, untuk membolehkan operasi pengusiran yang lebih bersungguh-sungguh,” kata jurucakap tentera Brigadier- Jeneral Restituto Padilla dalam CNN.

 Beliau tidak menyebut berapa ramai anggota keselamatan sudah dikerahkan tetapi berkata mereka datang dari tentera darat, tentera laut dan tentera udara.

 Tiga askar dan seorang anggota polis sudah terkorban sejak operasi bermula awal kelmarin.

 Padilla dan pegawai tentera dan polis lain berkata mereka percaya Abu Sayyaf bertanggungjawab bagi serangan itu.

 Jurucakap tentera itu berkata matlamat mereka adalah untuk membunuh atau menangkap menjelang semalam saki-baki penceroboh dan membendung pertempuran di luar bandar Inabanga, 80 kilometer dari bahagian pelancongan Bohol.

 Sekurang-kurangnya 100 penduduk sudah meninggalkan kawasan berkenaan, tambahnya.

 Pengusaha hotel dan pelawat memberitahu, pertempuran tidak menjejaskan trafik pelancong di pulau itu, tetapi kawalan keselamatan polis telah dipertingkatkan.

 Bohol, kira-kira 600 kilometer ke selatan Manila, sekadar 30 minit sahaja jika menaiki bot dari pelabuhan penting Cebu di Pulau Cebu, yang juga merupakan antara destinasi pelancongan utama di negara itu.

 Bohol menarik pelancong asing yang pergi ke sana untuk berenang bersama jerung paus yang jinak, menelusuri sungainya dengan bot peranginan, dan bersantai di pantainya yang bersih.

 Kumpulan Abu Sayyaf, sebuah kumpulan menculik untuk wang tebusan yang turut dituduh melancarkan serangan pengganas terburuk di negara itu, menjanjikan taat setia kepada pergerakan IS yang menguasai beberapa kawasan yang besar di Iraq dan Syria.

 Sejak setahun lalu, Abu Sayyaf telah memperluaskan kegiatannya dari pangkalan utamanya di pulau terpencil Jolo di selatan, kira-kira 500 kilometer ke barat daya Bohol.

 Lelaki bersenjatanya yang menaiki bot telah menaiki kapal-kapal komersil dan nelayan di perairan Jolo, berhampiran Malaysia, dan menculik puluhan anak kapal asing.

 Kumpulan itu memenggal kepala dua pelancong Kanada dan seorang kelasi kapal layar Jerman sejak tahun lepas, dan dilaporkan menebus kelasi untuk jumlah wang yang besar.

 Amerika Syarikat dan Australia baru-baru ini, serta Britain kelmarin, memberi amaran kepada warga masingmasing tentang kegiatan penculikan oleh pengganas di Bohol atau Pulau Cebu berdekatan. — AFP

Advertisement