Anda di sini

Peluncur udara hilang dalam awan ditemui selamat

Advertisement
 Mohd Rosely yang hilang ketika dalam penerbangan dari Bukit Batu Pahat ke Taman Millennium Kuala Kubu Bharu  dekat Kuala Kubu Bharu, kelmarin ditemui selamat pada 3.30 petang semalam. — Gambar Bernama
SELAMAT: Mohd Rosely yang hilang ketika dalam penerbangan dari Bukit Batu Pahat ke Taman Millennium Kuala Kubu Bharu dekat Kuala Kubu Bharu, kelmarin ditemui selamat pada 3.30 petang semalam. — Gambar Bernama

HULU SELANGOR: Mohamad Rosely Azli, 53, yang dilaporkan hilang ketika melakukan penerjunan udara di sekitar Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu kelmarin ditemui selamat pada jam 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R.Supramaniam berkata Mohamad Rosely ditemui kira-kira tiga kilometer dari arah utara menghala ke Kampung Sungai Damar, Kuala Kubu Bharu.

Dia telah ditemui oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM apabila beliau buka payung paraglider miliknya dan melambai-lambai ke arah unit udara bagi memudahkan kami mengesan dia.

Ketika ditemui Rosely berada dalam keadaan lemah kerana telah hampir 24 jam beliau hilang sebelum ditemui hari ini (semalam). Dia juga mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohamad Rosely dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mohamad Rosely dilaporkan hilang ketika sedang meluncur di udara dari Bukit Batu Pahat ke Stadium Millennium, Kuala Kubu Bharu.

Beliau gagal dikesan selepas meluncur bersama enam lagi paraglider pada jam 2 petang kelmarin.

Mereka terbang dalam ketinggian 4,000 kaki dengan enam yang lain mendarat dengan selamat pada jam 2.45 petang.

Sementara itu, Supramaniam juga menasihatkan orang ramai yang meminati sukan ekstrem lasak supaya memaklumkan dahulu penglibatan mereka kepada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang aktiviti.

Dengan cara ini ia memudahkan kami mengesan lokasi mereka dan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi” katanya. — Bernama

Advertisement