Anda di sini

KPDNKK dan Coca-Cola Malaysia latih 20,000 usahawan mikro menjelang 2020

Advertisement
 Hamzah (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd Stephen Lusk semasa melancarkan Program Keusahawanan Coca-Colaku bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Hamzah (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd Stephen Lusk semasa melancarkan Program Keusahawanan Coca-Colaku bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bekerjasama dengan Coca-Cola Malaysia untuk melahirkan 20,000 usahawan mikro menjelang 2020, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata Coca-Cola akan menyediakan modul latihan di bawah program Coca-Cola Komuniti Usahawan (Coca-Cola KU) yang meliputi cara-cara memulakan perniagaan, menyimpan rekod harian, menguruskan pendapatan dan perbelanjaan.

Katanya modul latihan itu turut memberi latihan menguruskan aliran tunai dan kredit, pengurusan kualiti perkhidmatan, kaedah pemasaran, membangunkan bajet serta bagaimana mengembangkan perniagaan.

KPDNKK pula akan memberikan khidmat rundingan berhubung peraturan dalam menjalankan perniagaan serta pembiayaan mikro kepada para usahawan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Coca-Cola KU di sini semalam.

Program kerjasama ini diharapkan akan dapat mencapai matlamat membangunkan masyarakat, mempertingkatkan pendapatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengawai Eksekutif Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd Stephen Lusk dan Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Henry Sum Agong.

Menurut Hamzah, program itu akan diperkenalkan di 14 universiti awam dengan penyertaan 1,000 pelajar di setiap universiti.

Katanya setiap peserta dikehendaki mengikuti kursus asas selama sehari diikuti dengan kursus lanjutan selama tiga hari mengikut kelayakan dan minat.

Terdahulu, ketika berucap Hamzah meminta pegawainya mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Coca-Cola bagi melihat bagaimana KPDNKK dapat membantu para usahawan menjadi vendor Coca-Cola di negara ini selepas mereka menamatkan modul latihan itu.

Sementara itu, Lusk berkata projek Coca-Cola KU di Malaysia merupakan sebahagian daripada komitmen global syarikat itu untuk mengiktiraf kepentingan memberi bantuan dalam memperkasakan para usahawan ini memaksimumkan punca pendapatan mereka.

Tanpa mendedahkan jumlah pelaburan bagi projek ini, beliau berkata Coca-Cola telah melabur sebanyak RM1 bilion di Malaysia sejak 2010. — Bernama

Advertisement