Anda di sini

Sayang barang nyawa melayang

Advertisement
 Penduduk merenung sayu rumah panjang mereka menjadi arang akibat kebakaran semalam.
MALANG TIDAK BERBAU: Penduduk merenung sayu rumah panjang mereka menjadi arang akibat kebakaran semalam.
 Penduduk tidak dapat menahan sebak apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api.
PILU: Penduduk tidak dapat menahan sebak apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api.

SARIKEI: Seorang penghuni rumah panjang dikenali Lowest Selin, 62, ditemui rentung dalam kebakaran meranapkan Rumah Saba, Sungai Enseluai Sare di sini semalam.

 Menurut adik mangsa, abangnya bertindak masuk ke dalam rumah panjang terbabit ketika kebakaran untuk menyelamatkan barangan milik mereka.

 “Selepas itu, saya tidak nampak kelibat abang saya.

 Kami berusaha mencari mangsa namun tidak jumpa.

 “Melihat situasi itu, saya terus melaporkan kepada pihak polis dan bomba yang masih berada di lokasi kejadian,” katanya.

 Sebaik sahaja menerima maklumat, bomba melancarkan gerakan mencari mangsa di biliknya (mangsa).

 Jam 1.40 petang, bomba menjumpai mayat di bilik nombor dua iaitu bilik tidur dalam keadaan rentung dipercayai mayat mangsa.

 Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses seterusnya.

 Kebakaran itu memusnahkan rumah panjang berusia 27 tahun yang diperbuat daripada kayu.

 Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu Rumah Saba, Sungai Enseluai di Jalan Sare ranap dalam tempoh kurang daripada 15 minit setelah dijilat api.

 Tuai Rumah Saba Aling, 62, berkata ketika kejadian kebanyakan penghuni rumah panjang tidak berada di rumah.

 “Kebanyakan penduduk turun ke pasar Sarikei, ke kebun dan sawah kerana masa sekarang mereka menuai padi dan ada juga penduduk turun ke gereja untuk sembahyang.

 “Justeru, tidak ramai berada di rumah panjang ketika kejadian dan situasi itu menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 Rumah panjang Saba terletak lebih kurang 25 kilometer dari pusat bandar Sarikei dan dihuni seramai 96 penduduk.

 Menurut Tuai Rumah Saba, berdasarkan maklumat yang beliau terima daripada penduduk, kebakaran itu bermula dari bahagian tengah rumah panjang berkenaan.

 “Kebanyakan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

 Kebakaran berlaku begitu pantas menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suna Kaha berkata bomba menerima panggilan kecemasan jam 10.08 pagi.

 Katanya, sebaik menerima panggilan pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati 90 peratus rumah panjang terbabit telah terbakar.

 “Bomba terpaksa mengepam air dari kolam berhampiran untuk digunakan memadam kebakaran tersebut,” katanya.

 Hingga kini punca kejadian dan jumlah kerugian ditanggung oleh mangsa kebakaran masih dalam siasatan.

 Turut hadir Ketua Zon 4 Abdul Mutalib Rashid.

  • oleh
  • Advertisement