Anda di sini

Trem tumbang cederakan 14, pemandu diberkas

Advertisement
AKIBAT KECUAIAN PEMANDU?: Seorang pejalan kaki (kanan) melihat anggota perkhidmatan kecemasan menggunakan lampu sorot untuk memeriksa trem dua tingkat yang tumbang di jalan raya di Hong Kong pada awal pagi semalam. — Gambar AFP
AKIBAT KECUAIAN PEMANDU?: Seorang pejalan kaki (kanan) melihat anggota perkhidmatan kecemasan menggunakan lampu sorot untuk memeriksa trem dua tingkat yang tumbang di jalan raya di Hong Kong pada awal pagi semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Pemandu sebuah trem dua tingkat yang tumbang di Hong Kong dan mencederakan 14 orang telah ditangkap semalam kerana disyaki memandu dengan berbahaya.

Lima wanita dan sembilan lelaki termasuk pemandu cedera, dan ada yang dibawa ke hospital, menurut polis.

Insiden itu, yang jarang sekali berlaku bagi rangkaian pengangkutan awam yang amat efisien di bandar raya tersebut, berlaku sekitar waktu tengah malam.

Seorang jurucakap polis berkata pemandu tersebut yang bernama Lo, 23, sedang disoal siasat.

Rakaman berita dari stesen TV tempatan menunjukkan anggota bomba di tempat kejadian, selain seorang individu yang memakai topeng oksigen ketika dibawa keluar di atas pengusung dari trem yang tumbang.

Imej yang diambil seorang jurugambar AFP di lokasi menunjukkan trem tersebut sedang didirikan semula sejurus kemudian.

Ia merupakan insiden kedua dalam rangkaian pengangkutan awam di Hong Kong pada tahun ini, biasanya dianggap sebagai antara sistem infrastruktur terbaik dan paling selamat di dunia, dan kemalangan jarang sekali berlaku.

Seramai 17 cedera pada Februari lalu apabila kebakaran berlaku kepada sebuah kereta api bawah tanah, yang mencetuskan evakuasi di stesen Tsim Sha Tsui – sebuah hab penting – pada waktu kemuncak dan menyebabkan huru-hara di atas platform.

Polis kemudian menangkap seorang lelaki kerana sengaja memulakan kebakaran.

Trem, dikenali sebagai “ding-ding” kerana bunyi locengnya, sudah memberi khidmat di pulau utama bandar raya berkenaan selama lebih seabad dan membawa 200,000 penumpang sehari.

Dengan kira-kira 160 kereta, rangkaian trem itu merupakan armada kereta trem dua tingkat terbesar di dunia yang masih beroperasi, dengan mengenakan caj rata hanya HK$2.30 (RM1.35) sahaja bagi orang dewasa untuk menaikinya di sepanjang laluan 120 tempat persinggahan. — AFP

Advertisement