Anda di sini

Warga emas hilang selama enam hari di hutan ditemui selamat

Advertisement
 Mangsa diusung oleh anggota penyelamat keluar dari dalam hutan tersebut untuk dihantar ke hospital.
MUJUR SELAMAT: Mangsa diusung oleh anggota penyelamat keluar dari dalam hutan tersebut untuk dihantar ke hospital.

BAU: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selama enam hari di dalam hutan Kampung Stass di sini berjaya ditemui dalam keadaan selamat menerusi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata mangsa Rigek Moseng berusia 73 tahun ditemui kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan di Kampung Plaman Bo’ow sekitar jam 3.05 petang.

Menurutnya, mangsa yang lemah keadaan tubuh badannya kemudian dikejarkan ke Hospital Bau oleh pasukan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan SAR berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat tetapi lemah selepas penemuan payung dan salinan kad pengenalan milik mangsa dalam radius 100 meter.

Maklumat awal didapati banyak percangahan sehingga penemuan barang mangsa sejak lewat petang semalam (Selasa) dan fokus pencarian bertumpu di sekitar kawasan tersebut iaitu di kawasan hutan Kampung Palaman Bo’ow,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan, mangsa sepanjang kehilangannya hanya memakan ubi keladi dan sumber air dari periuk kera.

Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh keluarganya pada Ahad lepas apabila mendapati  tidak pulang ke rumah.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bau kemudian mendirikan Pos Kawalan Bomba sekali gus memulakan operasi SAR namun ia tepaksa ditangguhkan apabila cuaca gelap serta hujan lebat.

Manakala pada Isnin lalu, pasukan membuat pencarian di hutan serta di jalan utama namun mangsa masih gagal ditemui.

Operasi kemudian berpecah kepada dua kawasan iaitu di Kampung Pelaman Bo’Ow dan Kampung Sebobok selepas terdapat maklumat saksi mengatakan ada melihat mangsa di lokasi terakhir pada 31 Mac yang jaraknya enam kilometer dari Pos Kawalan Bomba.

 Makanan mangsa sepanjang berada di dalam hutan tersebut.
PENYELAMAT: Makanan mangsa sepanjang berada di dalam hutan tersebut.
Advertisement