Anda di sini

James Mathew sanggup ‘melabur’ untuk jadi seorang penyanyi

Advertisement
JAMES MATHEW
JAMES MATHEW

DISEBABKAN minat yang terlalu mendalam terhadap bidang seni suara, James Mathew sanggup ‘melabur’ demi kepuasannya semata-mata mahu memenuhi impiannya bergelar seorang penyanyi.

Pemuda yang berasal dari Sebauh, Bintulu ini sanggup mengeluarkan wangnya sendiri sebagai kos biaya bagi menjayakan pembikinan album solonya.

Sebagai seorang penyanyi ‘freelence’ ataupun bebas dari ikatan mana-mana syarikat rakaman, dia telah menggunakan khidmat Abbu Kemuyang Recording Studio (AKRS) untuk pembikinan klip video dan lagunya.

Ketika ditemui di Sibu baru-baru ini, James memberitahu beliau terpaksa turun ke Sibu semata-mata mahu menyiapkan album solonya demi minat.

“Saya memilih AKRS kerana ia adalah studio bebas yang menyediakan khidmat merakamkan lagu, pengadunan muzik dan menjalankan penggambaran klip video,” katanya lagi.

Menurutnya, AKRS adalah di bawah seorang penyanyi yang tidak asing lagi iaitu Abbu Kemuyang yang bertindak sebagai ‘Jeneral’ untuk menjayakan albumnya ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai albumnya ini, dia menjelaskan album ini kelak akan memuatkan sebanyak lapan buah lagu.

“Pada album kali ini, saya menggunakan khidmat beberapa orang komposer tempatan yang masih baharu dalam industri muzik Iban.

“Mereka ialah Johannes Ensan, Sta Sirai, Dominic Gabriel dan termasuk saya sendiri. Walaupun nama kami agak asing tetapi saya yakin karya kami boleh diterima umum,” jelasnya lagi.

James berkata, genre dalam albumnya ini kelak adalah berkonsepkan balada, joget dan slow rock.

“Proses terkini saya sudah menyiapkan sebanyak empat lagu termasuk penggambaran klip videonya yang dijalankan di sekitar bandar Sibu,” ujarnya yang masih merahsiakan nama lagunya.

Katanya, beliau akan menyiapkan baki lagunya itu dalam masa terdekat memandangkan beliau mempunyai komitmen lain di Bintulu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai latarbelakangnya, James memberitahu bahawa dia disyorkan oleh seorang penyanyi popular Iban iaitu Sta Sirai untuk mengeluarkan album.

Menurutnya, Sta Sirai adalah rakannya dan dia sering mengikuti Sta Sirai apabila menerima undangan menyanyi di beberapa lokasi di Bintulu.

“Saya hanyalah diletakkan sebagai slot apabila Sta Sirai berhenti rehat selepas menyanyi. Di situ, dia mengesyorkan saya untuk mengeluarkan album.

“Lagipun, menyanyi ini bukan asing bagi saya kerana saya juga sering mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di Bintulu sejak dulu lagi,” katanya.

James memberitahu bahawa dia amat meminati Rickie Andrewson, Penghulu Andrewson Ngalai dan Johnny Aman dan justeru itu beliau memilih lagu-lagunya berentak seperti muzik ketiga-tiga penyanyi tersebut.

Dalam usaha menerbitkan albumnya ini, jelasnya, dia mendapat restu dari keluarganya.

“Bila albumnya ini siap sepenuhnya, AKRS akan mengatur segala prosesnya termasuk mencari syarikat edaran untuk memasarkan album ini kelak.

“Justeru, tiada tarikh tetap bila album ini siap. Bagaimanapun, saya berusaha untuk menyiapkannya dengan secepat mungkin. Usaha saya ini juga bolehlah dikatakan mencuba nasib di industri muzik Iban,” tambahnya yang akan melanjutkan pendidikannya di sebuah institut latihan di Bintulu tidak lama lagi.

James yang amat meminati bidang nyanyian sejak di bangku sekolah lagi berharap albumnya ini kelak dapat bersaing di pasaran serta diterima pendengar kerana ia adalah hasil titik peluhnya sambil mengekalkan lagu asli tanpa meniru mana-mana lagu lain.

  • oleh
  • Advertisement