Anda di sini

Dua rakan dipenjara 10 tahun, cuba bunuh wanita warga asing

Advertisement
 Dua sahabat Mohamad Aidilfitri (kiri) dan Muhammad Afiq dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam atas cubaan membunuh seorang wanita warga Indonesia dengan mencampaknya di Sungai Klang pada 6 Februari lepas. — Gambar Bernama
KE PENJARA: Dua sahabat Mohamad Aidilfitri (kiri) dan Muhammad Afiq dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam atas cubaan membunuh seorang wanita warga Indonesia dengan mencampaknya di Sungai Klang pada 6 Februari lepas. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Dua orang rakan, masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan cuba membunuh seorang wanita warga asing dengan mencampak mangsa ke dalam Sungai Klang pada 6 Feb lepas.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Aidilfitri Mohd Powet dan Muhammad Afiq Jamli, kedua-duanya berumur 21 tahun, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada tarikh mereka ditahan pada 7 Feb lepas.

Mohamad Aidilfitri dan Muhammad Afiq bersama-sama didakwa memukul wanita warga Indonesia bernama Misnah Sri Wahyunengsih, 37, dan memasukkan mangsa ke dalam guni, mengikat kaki dan mencampak wanita itu ke dalam Sungai Klang dengan niat untuk membunuhnya selain mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Mangsa, seorang pekerja kilang terselamat apabila ditemui orang awam dalam keadaan terapung di sungai berkenaan.

Kedua-dua penganggur itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di jambatan Sungai Klang, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Seksyen 24 di sini pada kira-kira jam 11 pagi.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Misnah dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa kejadian berkenaan membuatkannya trauma selain masih merasai kesakitan akibat perbuatan kedua-dua tertuduh.

Mangsa turut mengadu menghadapi masalah untuk tidur kerana kerap bermimpi kejadian itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip manakala Muhammad Afiq diwakili oleh peguam Salim Bashir dan Mohamad Aidilfitri pula tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement