Anda di sini

Masyarakat Bidayuh diseru manfaatkan kemudahan IT

Advertisement

KUCHING: Masyarakat Bidayuh diseru memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat (IT) terutama dalam memasarkan hasil pertanian mereka dan dalam urusan pembayaran secara perbankan atas talian.

Demikian menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemimpin bertemakan ‘Sipakat Bisamah Kimaju Kapong’ anjuran Zon Kandis, Kampung Simpok, Padawan, Kuching di Dewan Masyarakat Siburan, semalam.

Penduduk kampung khususnya di kawasan luar bandar wajar mencontohi negara India dan China dalam memasarkan hasil pertanian keluar negara seperti lada hitam, getah dan padi dengan menggunakan sistem teknologi maklumat termasuk urusan pembayaran secara perbankan atas talian,” ujar Sagah.

Selain itu, Sagah turut menasihati masyarakat Bidayuh di Kampung Simpok agar memanfaatkan kelebihan dan keunikan yang dimiliki mereka.

Kedudukan strategik Kampung Simpok yang terletak di antara bandar raya Kuching dengan Serian serta jaringan jalan raya yang baik dan keindahan alam semula jadi seperti hutan, sungai, gunung dan gua serta keunikan budaya yang ditonjolkan semasa sambutan tahunan Pesta Gawai berpotensi menarik kehadiran pelancong ke kawasan ini,” tambah Sagah.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Bidayuh terus mempertahankan budaya dan adat yang menjadi identiti dan kebanggaan mereka sampai bila-bila.

Antara tujuan utama majlis berkenaan diadakan adalah untuk mengutip dana bagi mengadakan aktiviti sambutan Pesta Gawai yang disambut setiap tahun di Kampung Simpok.

Pada tahun ini, Zon Kandis iaitu salah satu zon di Kampung Simpok akan menjadi penganjur bagi Pesta Gawai.  

Selaku penganjur,  Zon Kandis, Kampung Simpok turut merancang beberapa aktiviti termasuk Sukaneka Sungai Seri yang meliputi rakit berhias, lumba rakit, tangkap itik, tarik tali, kupas kelapa, parut kelapa tua, baling belon air serta pertunjukan pakaian beragam dan acara kemuncak ialah pertandingan ratu cantik ‘Naknya Sangon’.

Advertisement