Anda di sini

Penduduk Alor Gajah minta pastikan banjir tidak jadi ‘acara tahunan’

Advertisement

ALOR GAJAH: Penduduk Alor Gajah yang terjejas akibat banjir di daerah ini pada minggu ini memohon pihak bertanggungjawab supaya tidak terus membiarkan bencana banjir menjadi ‘acara tahunan’.

Mohd Zamani Nordin, 29, juruteknik syarikat swasta yang tinggal di Taman Seri Bayu 2 di sini, berkata banjir di kawasan tempat tinggalnya berulang kembali pada akhir 2015 dan sejak itu keluarganya terpaksa berpindah.

Beberapa tahun lepas ada projek mendalamkan beberapa sungai di kawasan ini dan sejak itu lama sudah tidak banjir, tetapi mula akhir 2015 jadi balik banjir dan bulan Februari tahun lepas jadi lagi, lepas tu sekarang jadi lagi.

Kali ini nampak tidak seteruk tahun lepas tetapi kami terpaksa juga berpindah kerana bimbang keselamatan, harap lepas ini tidak kena pindah kerana kalau tiap tahun pindah susah kami jadinya,” katanya kepada Bernama.

Pada 7 Feb tahun lepas, seramai 1,491 mangsa di daerah ini dipindahkan akibat banjir, dan jumlah teramai mangsa dipindahkan dalam banjir baru-baru ini adalah 210 orang pada 8 pagi semalam, sebelum semua mangsa dibenarkan pulang pada jam 1.30 petang kelmarin.

Pekebun sayur Herman Syuib, 42, yang mengusahakan kebun sayur di Kampung Panchor dekat sini, berkata dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 setiap kali banjir melanda di kawasan itu.

Barang kita boleh letak tinggi, orang boleh pindah tetapi sayur saya tanam mana boleh pindah atau letak tinggi. Saya bukan pekebun besar cuma kecil-kecil jadi susah juga hendak ‘rolling’ balik kalau rugi akibat banjir, kalau setiap tahun begini susah saya dan orang kampung,” katanya.

Herman berkata berdasarkan pemerhatiannya, masalah penyelenggaraan saliran antaranya sungai yang terletak di kampung yang dipenuhi lalang dan tumbuhan lain terutama di kawasan tebing, dipercayai menjadi antara penyebab banjir.

S. Nirmala, 21, pelajar institusi pengajian tinggi yang tinggal di Taman Awan Biru di sini, berkata kediaman keluarganya dilanda banjir lumpur dan air naik dengan begitu cepat.

Katanya hujan lebat kira-kira dua jam pada Khamis lepas menyebabkan air naik dengan begitu cepat dan dia bersama keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir sebelum dibenarkan pulang sekitar tengah hari kelmarin.

Penduduk kawasan ini kata banjir lumpur dan air naik dengan cepat ini selalunya ada masalah dengan saliran, mungkin ada yang tersumbat atau tidak diselenggara betul. Minta tolong banyak kepada pihak bertanggungjawab jangan biar setiap tahun jadi begini,” katanya. — Bernama

Advertisement