Anda di sini

Merealisasi aspirasi

Advertisement
 Abang Johari mengisar padi mengikut cara masyarakat Bidayuh setibanya ke perasmian Pesta Birumuh 2017 di Stadium Mini Serian semalam. Turut kelihatan Uggah (kanan) dan Riot.
TRADISI: Abang Johari mengisar padi mengikut cara masyarakat Bidayuh setibanya ke perasmian Pesta Birumuh 2017 di Stadium Mini Serian semalam. Turut kelihatan Uggah (kanan) dan Riot.

  Kerajaan akan sedia kemudahan, infrastruktur di Serian untuk penuhi aspirasi Bidayuh: KM

SERIAN: Kerajaan negeri akan menyediakan semua kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan di Bahagian Serian untuk memenuhi aspirasi masyarakat Bidayuh.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan Serian sebagai bahagian ke-12 di Sarawak kira-kira dua tahun lalu.

Justeru, katanya, beliau akan meneruskan usaha Tok Nan untuk membangunkan Serian dan masyarakatnya.

Kedatangan saya hari ini (semalam) bukan dengan tangan kosong di mana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan Kompleks Pentadbiran Bahagian Serian, Dewan Persidangan dan Bandar Baharu Serian.

Malah, kita juga akan menaik taraf fasiliti di Tasik Serian dengan membangunkan jambatan ikonik seperti di Putrajaya.

Saya yakin dalam masa tiga tahun ini, sektor pelancongan akan meningkat di Bahagian Serian ini sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan domestik seperti kraf tangan, restoran dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Birumuh 2017 Serian di Stadium Mini Serian di sini semalam.

Abang Johari berkata, bagi merancakkan lagi pembangunan di Serian, kerajaan merancang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) bagi menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Sebagai tanda berterima kasih kepada masyarakat Bidayuh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan perpaduan negeri, Abang Johari semalam turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan Kompleks Pejabat Daerah Tebedu.

Bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke bahagian ini, katanya, kerajaan negeri akan turut menaik taraf Taman Rekreasi Air Terjun Ranchan dengan peruntukan RM2.5 juta.

Selain itu, beliau menyumbang RM100,000 kepada Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) yang telah berjaya menganjurkan pesta tersebut dengan jayanya semalam.

Dalam pada itu, lebih 8,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum memeriahkan pesta itu semalam.

Pesta penuh dengan nilai-nilai kebudayaan itu diserikan lagi dengan perarakan kebudayaan oleh 30 kontinjen termasuk peserta dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

  • oleh
  • Advertisement