Anda di sini

Keputusan rasional

Advertisement
 Abang Johari (dua kiri) menerima cenderahati dalam bentuk digital daripada Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang (kiri) sebagai tanda penghargaan disaksikan Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon (kanan) dan Pengarah CENTEX Datu Abu Bakar Marzuki.
PENGHARGAAN: Abang Johari (dua kiri) menerima cenderahati dalam bentuk digital daripada Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang (kiri) sebagai tanda penghargaan disaksikan Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon (kanan) dan Pengarah CENTEX Datu Abu Bakar Marzuki.

   Cara Sarawak mengupas RUU355 adalah secara rasional, tidak beremosi dan tidak keagamaan: KM

KUCHING: Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 adalah rasional.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, RUU355 akan menjadi virus kepada Perlembagaan sedia ada jika ia dibentangkan.

Artikel 8 mengatakan bahawa semua individu adalah sama rata di mata undang-undang dan jika hukuman untuk orang Islam dan bukan Islam berlainan, ia mempunyai elemen ketidakadilan.

Jadi, apabila kita di Sarawak mengemukakan perkara ini, ia telah diterima secara rasional dan BN tidak jadi untuk mengemukakan RUU355,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2017 di Dewan Jamilah Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Abang Johari berkata, cara Sarawak mengupas RUU355 adalah secara rasional, tidak beremosi dan tidak keagamaan.

Inilah yang saya buat selaku pemimpin di Sarawak disokong oleh Prof Datuk Dr Sim Kui Hian dan rakan-rakan kabinet ketika kami berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Akhirnya, pembentangan RUU355 ditarik balik sekali gus membuktikan bahawa kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni tanpa pertelagahan yang bersifat sentimental,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata Yayasan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan anak-anak negeri ini.

Meskipun bidang pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. tetapi kita di Sarawak bertuah kerana mempunyai sebuah institusi yang sentiasa menekankan pembangunan pendidikan anak-anak negeri ini.

Malah, katanya, Yayasan Sarawak turut melabur bersama dalam Curtin University, University Technology Swinburne dan juga UCTS di Sibu dan lain-lain kolej yang memberi landskap baharu kepada Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut meminta ahli lembaga Yayasan Sarawak untuk memperkukuhkan aspek pendidikan digital sejajar dengan kemajuan teknologi digital masa kini.

Saya telah berjumpa dengan ahli-ahli lembaga pengurusan Yayasan Sarawak buat pertama kalinya hari ini dan saya telah meminta mereka untuk memperkukuhkan pendidikan digital.

Malah, kita juga telah memperuntukkan RM1 bilion bagi menaik taraf kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di negeri ini untuk anak-anak muda menambah baik pengetahuan serta kemahiran mereka,” katanya.

Sebelum menyampaikan hadiah kepada 379 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Kuching, Bau dan Lundu, Abang Johari turut mengisytiharkan nama Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak kepada Wisma Adenan.

Perisytiharan nama tersebut adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kepada Yayasan Sarawak.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan Prof Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement