Anda di sini

19 pasukan merebut kejuaraan futsal Jabatan Penjara Malaysia Kelapan 2017

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 19 pasukan lelaki dan wanita dari 12 negeri berentap bagi merebut gelaran juara Kejohanan Futsal Jabatan Penjara Malaysia Kelapan 2017 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bermula semalam.

 Kejohanan disertai 245 peserta itu menampilkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita bermula 31 Mac hingga 2 April ini.

 Majlis perasmian kejohanan semalam disempurnakan oleh Pengarah Penjara Sarawak Timbalan Komisioner Ajidin Salleh.

 “Saya berharap agar kejohanan yang julung kali dianjurkan di Sarawak ini akan menjadi pemangkin untuk melahirkan peserta berbakat dalam kalangan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

 “Justeru, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peserta yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan itu semalam.

 Pada masa sama, Ajidin memberitahu kejohanan itu juga dapat menjadi pentas mengasah bakat kakitangan Jabatan Penjara Malaysia selain merapatkan silaturahim.

 “Saya berharap penganjuran seumpama itu akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membentuk anggota perkhidmatan awam yang sihat, cergas, berdisiplin, berkualiti dan berdaya saing,” ujarnya.

 Beliau turut menyeru agar kakitangan Jabatan Penjara Malaysia dari negeri lain merebut peluang untuk mengunjungi lokasi menarik di sini bagi melihat sendiri keindahan dan keunikan Sarawak.

Advertisement