Anda di sini

Dua pekerja melecur selepas berlaku kebakaran di kilang

Advertisement

KUCHING: Dua pekerja termasuk seorang lelaki warga China melecur selepas berlaku kebakaran di kilang tempat mereka bekerja di Taman Perindustrian Sama Jaya, di sini pagi semalam.

 Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata kedua-dua mangsa semasa kejadian sedang bekerja apabila mesin mekanikal yang dikendalikan mereka tiba-tiba terbakar sekitar jam 7 pagi.

 “Kebakaran melibatkan mesin mekanikal kilang dan telah dipadamkan oleh pasukan ERT Kilang menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

 “Terdapat dua mangsa, di mana seorang daripadanya yang merupakan warga China melecur di seluruh badannya dan kedua-dua mereka diserahkan kepada ambulans seterusnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

 Menurut Tiong, kedua-dua mangsa melecur akibat terkena air panas yang tersembur dari atas mesin tersebut yang terbakar.

 “Hanya mesin tersebut yang terbakar dan kedua-dua mangsa melecur akibat terkena air panas dari atas mesin tersebut,jelasnya.

 Tingkat atas kilang berkeluasan 250 meter panjang kali 200 meter lebar itu terbakar 40 peratus.

 “ Bomba bertindak melakukan pemantauan di lokasi disebabkan masih terdapat asap pada bangunan kilang tersebut,” kata Tiong lagi.

 Tambahnya, bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 7.15 pagi.

 Seramai enam anggota dari Balai Bomba Tabuan Jaya bersama tujuh anggota HAZMAT dikejarkan ke tempat kejadian.

 Kilang tempat kedua-dua mangsa bekerja merupakan kilang pembuatan solar bersepadu bagi proses menghasilkan jongkong , kepingan, sel dan modul solar.

 Sehingga berita ini ditulis semalam, keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS.

Advertisement