Anda di sini

ABSS sasar 125,000 pengguna perisian akauntan menjelang Mac 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Censof Holdings Bhd, Asian Business Software Solutions Sdn Bhd (ABSS), mahu mendapatkan sebanyak 125,000 perniagaan mikro dan kecil yang akan menggunakan perisian perakaunan terbaharunya, Financio, menjelang Mac 2018.

Syarikat penyelesaian perniagaan itu melancarkan Financio hari ini bagi membantu usahawan menangani urusan kewangan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Conway, berkata syarikat permulaan dan kecil tidak mampu untuk memakai khidmat seorang akauntan dan ini boleh menyebabkan mereka kehilangan jejak kewangan dan seterusnya, berpotensi menjejaskan perniagaan mereka.

Financio direka untuk digunakan oleh mereka yang bukan akauntan. ABSS percaya perniagaan mikro dan kecil adalah penting kepada ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, produk serta perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Financio di sini semalam.

Aplikasi portal web dalam talian itu dapat memantau jualan, pembelian, pelbagai urus niaga dan secara automatik menjana laporan kewangan dan rekod cukai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi, Jye Eng, berkata Financio dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, jadi ia direka bagi membantu usahawan di Malaysia untuk berkembang.

Ia dibina dalam persekitaran undang-undang dan peraturan tempatan, jadi syarikat tidak perlu bimbang dengan percetakan borang cukai salah,” katanya.

Financio datang dengan versi berbayar atau percuma tetapi opsyen tertentu akan menjadi terhad, seperti penjejakan inventori dan had penstoran yang lebih rendah.

Versi penuh Financio boleh didapati pada harga RM32.95 sebulan, atau RM329.50 setahun tetapi versi percuma disediakan untuk masa yang terhad.

ABSS akan memperkenalkan perkhidmatan tersebut di Singapura dalam Jun ini dan Hong Kong, Filipina dan Indonesia menjelang September. — Bernama

Advertisement